e-episode

Friday, August 17, 2007

Black Book

Pengarah : Paul Verhoeven

Bahasa : Hebrew Tagline

“Black Book is a crackling good melodrama – inspired remarkably, by actual events – with few clearly defined heroes and villains. !!”

Sinopsis

Latar belakang Hollan 1944, tahun terakhir perang dunia kedua. Seorang wanita Yahudi Elis cuba menyelamatkan diri dari tentera German. Bergabung bersama Yahudi-Yahudi yang lain. Berlarutan hingga tamatnya perang dunia kedua. Ini kisah pengkhianatan orang Yahudi terhadap bangsanya sendiri.

Ulasan

Tentu ada yang maihn ingat sebuah drama Melayu lakuna wanita Tiong Hua bernama Alice Voon. Drama Siapa bunuh Alice. Tetapi dalam filem ini kita diajak untuk merungkai persoalan ‘Siapa yang mengkhianati Elis?’

Selepas menikmati siri kekezaman terhadap bangsa Yahudi dalam Shcindler’s List (Steven Spielberg) dan Life Is Beautiful (Benito Benigni), saya mula mual dengan filem-filem yang memberi simpati kepada Yahudi. Begitu banyak filem yang saya beli namun akhirnya tidak saya tonton. Tetapi Black Book tidak sekadar bercerita tentang simpati kepada kekejaman Nazi ke atas bangsa Yahudi.

Filem ini bercerita panjang tentang pengkhianatan orang yahudi terhadap bangsanya sendiri. Menariknya persoalan ini hanya terungkai menjelang minit-minit terakhir. Sangat bagus penulis filem ini menyembunyikan dan melalukan begitu banyak ‘twist’.

Tontonlah.

Labels:

The Departed

Pengarah : Martin Scorsese
Pelakun : Leonardo De Caprio, Matt Damon, Jack Nicholson & Mark Whalberg

Sinopsis

Kisah operasi sepasukan polis mencekup sekumpulan penjenayah besar. Castello nama diberi (bukan Rosyam Nor) lakonan Jack Nicholson. Castello menyusupkan seorang spy dalam pasukan polis itu (Matt Damon). Dari sisi yang lain pula pasukan polis sebenarnya sudah pun memasukkan seorang spy dalam pasukan penjnayah itu (De Caprio).

Setiap pihak cuba menyelidik siapakah yang menjadi dalang dan tali barut. Nampak mudah. Kan tetapi sebenarnya begitu banyak ‘twist’ berlaku dalam filem ini. Hinggakan saya sendiri tersandar menerima hakikat bagaimana filem ini disudahkan.

Ulasan

Stori filem ini sangat bagus. Adaptasi dari sebuah produkasi Hong Kong ‘Infernal Affairs’. Kagum sekali. Bukan pertama kali Hollywood membeli hak cipta filem-filem Hong Kong untuk di’remake’. Malaysia bila lagi agaknya.

The Departed sebuah filem tragik yang kaya dengan konflik dan drama. Kisah dunia jenayah yang serba hitam dan kejam. Teringin sekali saya tonton bersi asal filem ini. Tentu sentuhan dan tafsirannya berbeza.

Lakonan

Leonardo De Caprio mendapat pencalonan berganda dalam Oscar dalam tahun filem ini diterbitkan. Satu dari pencalonan itu diraih dari The Departed. Secara peribadi saya meminati lakonan De Caprio sejak dari filam Titanic lagi. Nyata Scorsese senang sekali bergandingan dengan aktor yang sedang meningkat naik ini. Gang of New York, The Aviator dan The Departed.

Hanya saja belum rezeki De Caprio untuk menang. Sepertinya juri sirna untuk menilai lakonan yang baik dari produksi filem yang baik. Kebanyakan pemenang-pemenang kategori lakonan dipilih dari filem-filem yang tidak ‘outstanding’. Dan The Departed ‘outstanding’ di mata para juri dan di beri beberapa anugerah kategori yang lain.

Yang lain-lain, Nicholson – entah kenapa sejak dari As Good As It Gets saya tidak meminatinya. Mungkin kerana menggoda wanita muda. Orang tua tidak sedar diri! Matt Damon berlakon dengan bagus. Cumanya mungkin tidak cukup hensem agaknya.

Mark Whalberg!. Apalah agaknya yang boleh dilakukan oleh model seluar dalam ini. Whalberg sangat sesuai berlakon filem-filem aksi-aski melompat-lompat dan berkejar-kejar plus buka-buka baju. Tetapi tidak filem drama yang punya banyak konflik.

Labels:

Wednesday, August 01, 2007

Littel Miss Sunshine

Hingga saat ulasan ini dibuat, saya telah tonton filem ini dua kali. Kali kedua saya rekomen kepada seorang teman yang hanya menonton filem-filem blockbuster biasa. Dia tanya samaada saya menyimpan dvd Tranformers? Saya katakan tidak. Ternyata filem ini berjaya ditonton hingga ke akhir tanpa rasa jemu. Ulasnya ringkas.

Little Miss Sunshine merupakan sebuah produksi bajet kecil Hollywood dengan pelakon tidak cantik dan tidak terkenal. Namun sesuatu yang menarik, filem ini berjaya mencalonkan diri dalam banyak kategori utama Oscar dan juga menang beberapa kategori mengalahkan beberapa filem bajet besar.

Sinopsis

Little Miss Sunshine sebuah kisah perjalanan sebuah keluarga dari Alburqueque (betulkan ejaan) ke California. Kalau Transameria mengisahkan perjalanan seorang lelaki yang ingin menjadi wanita mencari anaknya, Little Children pula perjalanan untuk menyertai pertandingan ‘ratu cantik’ Little Miss Sunshine. Sepanjang perjalanan penonton diperkenalkan dengan setiap ahli keluarga.

• Ayah, seorang pakar motivesi yang belum berjaya.
• Ibu, seorang suri rumah. Lakonannya mirip Fellicity Huffman dalam Desperate Housewives.
• Datuk, seorang penagih dadah tua yang tegar.
• Pak cik, seorang homo yang baru selamat dari cubaan membunuh diri.
• Anak lelaki remaja yang bertekad untuk tidak becakap sehingga berjaya masuk ke Akademi Tentera Udara.
• Dan anak gadis kecil yang bersungguh-sungguh ingin menyertai Little Miss Sunshine.

Ulasan

Filem ini sebuah drama keluarga. Genre kegemaran saya sepanjang zaman. Cara filem ini dibikin dengan runut bunyi yang indah. Mengintakan saya kepada filem I Am Sam. Juga terselit unsur-unsur ska dalam muzik latar ini.

Saya suka dengan mesej positif yang cuba disampaikan dalam filem ini.

1. Tentang semangat untuk berjaya. Seperti kata ayah yang juga seorang pakar motivasi. ‘Tuah’ hanya alasan yang digunakan oleh orang gagal.
2. Jadi apa yang kita mahu jadi. ‘It’s ok if you want to be fat or skinny. You are what you are’.
3. Konsep kematian. ‘Kalau Tuhan mahu mengambil datuk terlebih dahulu, maka kita harus bersedia melepaskan dia pergi’. Saya tidak sangka dialog ini wujud dalam sebuah filem Hollywood.

Filem ini bebas dari aksi kurang sopan. Hanya satu babak ketika polis trafik membelek majalah lucah yang dibeli oleh Pak Cik dan Datuk. Selain dari itu hanya isu homoseksual yang dibualkan secara panjang lebar.

Lakonan

Cemerlang. Senang sekali melihat watak-watak natural berlakon dalam filem ini. Tiada solekan-solekan tebal yang merimaskan. Tiada kostum-kostum melampau-lampau. Yang ada hanya van buruk yang rosak ‘clutch’nya dan pelakon-pelakon yang berwajah sangat biasa. Gadis kecil yang tembam. Anak remaja yang berbintik-bintk kulitnya.

Wah! Senang sekali menonton kisah sejujur ini. Saya tonton juga FUR ; Imaginary Potrait (lakonan Nicole Kidman). Mungkin akan saya ulas kemudian. Little Children. Menarik tetapi terlalu banyak aksi seks yang melemaskan. Malas hendak ulas.

Tonton filem ini kalau anda suka menonton :

1. I Am Sam
2. TransAmercia
3. Imaginary Heroes
4. You Can Count On Me

Labels:

Thursday, July 05, 2007

Fantastic Four : Rise of the Silver Surfer

Pengarah : Tim Story  
 
Tidak sedikit yang menonton filem ini semata-maa untuk menonton aksi Jessica Alba. Di luar filem Jessica Alba pada saya jauh lebih cantik. Dalam filem, dengan kostum dan watak kekartunan mengurangkan stail dan ke’elegan’an pelakon berbibir seksi ini.   
 
Sinopsis   
 
Sama seperti Spiderman 3, Fantastic Four tidak menampil sesuatu yang baru melainkan hanya munculnya watak jahat baru yang perlu ditumpaskan. Victor von Doom watak jahat yang sangat kuat dan sangat jahat muncul semula. Nyawa orang jahat memang liat untuk diputuskan. Dalam bahagian kedua ini, satu watak baru muncul Silver Surfer yang menjalankan misi untuk memusnahkan dunia. Gedebak-gedebuk akhirnya bumi dapat diselamatkan. Klise bukan!. Tapi masih sangat ramai yang gila-gila menonton filem-filem sebegini. Pun begitu Fantastic Four berbanding dengan siri-siri animasi yang lain tidak begitu berjaya di pawagam. Pencapaian Spiderman dan X Men ternyata skuar dikalahkan.   
 
  Ulasan   
 
Apa yang menarik ditampilkan dalam filem ini ialah saat bumi mahu dihancurkan. Akhirnya kita sedar bahawa dunia akan hancur. Akan ada penamat. Tema-tema kiamat ini banyak kali diangkat di Hollywood. Kehancuran bumi banyak ditonjolkan berpunca dari perlanggaran meteor dan ada juga yang mengandaikan serangan makhluk asing. Namun hakikatnya bumi akan hancur lebih awal dari tarikh luput duduknya. Akibat tindakan dan kerakusan manusia sendiri.   
 
Silver Surfer memegang amanah ‘tuan’nya, Galactus yang tidak diperincikan untuk memusnahkan dunia. Penganut-penganut agama wahyu diajar tentang tiupan sangkakala yang akan menghancurkan bumi. Tuhan tidak sendiri memusnahkan alam ini, melainkan diperintahkan kepada malaikatnya. Dalam Fantastic Four ia digambarkan sebagai Silver Surfer.   
 
Filem sepanjang 90 minit ini tidak punya banyak perkara yang boleh diulas.   
 
Terlalu pendek dan terlalu simple untuk dibincangkan. Selain Jessica Alba yang blond dan aksi-aksi yang sarat tiada apa yang boleh diceritakan semula.

Labels:

Thursday, June 14, 2007

Shrek 3

Ada dua faktor utama, kenapa saya suka filem-filem animasi Hollywood.

Satu : Filem animasi ditampilkan dalam Bahasa Inggeris yang kemas dan mudah difahami. Tiada ‘lahjah’ atau longat atau lebih mudah difahami ‘bahasa daerah’ yang caca marba. Tiada bahasa slanga yang haru-biru tata bahasanya. Kepada penonton berbangsa Melayu yang ingin belajar mendengar dan bertutur bahasa Inggeris dengan baik, tontonlah filem sebegini. Pengucapan dialognya juga sangat jelas.

Kedua : Filem animasi yang secara umumnya disasarkan kepada kanak-kanak, sangat dijaga tata tertib dan nilai moral di dalamnya.

Shrek 3 mengekalkan kejayaan siri-siri sebelumnya. Bikinannya sangat kemas. Malah Shrek edisi pertama pernah tercalon sebagai filem terbaik dalam Oscar. Sejak Beauty and The Beast rasanya sukar filem animasi menembusi kategori ini.

Sinopsis

Sambungan kisah hidup Shrek, makhluk orge (baca : raksasa) selepas mendirikan rumah tangga dengan Puteri Fiona. Shrek tersenarai sebagai pewaris takhta negeri Far Far Away (papan tandanya seperti papan tanda Hollywood).

Ulasan

Kalau Spiderman 3 (yang saya tak mahu ulas) pada saya gagal meneruskan ke’gah’an, maka Shrek 3 sebaliknya. Spiderman 3 bukan tidak bagus, tetapi dia tidak lebih baik dari Spiderman 2 dan 1. Akan tetapi Shrek 3 mampu setanding dengan siri sebelumnya dari sudut jalan cerita dan skrip.

Aksi Donkey masih dan Pussy Cat masih segar. Terutama ketika kedua watak ini tertukar indetiti selepas disihir.

Shrek (sejak siri pertama) sebenarnya seperti bercerita merentasi kisah-kisah dongeng yang lain. Dari watak Pinochio hinggalah ke Repunzel. Tidak keterlaluan jika saya katakan penulis Shrek cuba membuat pengkisahan semula kisah-kisah dongeng dalam Hollywood. Yang terbaru ialah kemasukan watak tukang sihir. Ini diambil dari kisah dongeng baru Hollywood, Harry Potter.

Dan filem Shrek paling kuat nilai murni yang cuba disampaikan. Dalam Shrek 1 penonton diajar tentang bahagia tidak semestinya cantik. Ini jelas ketika Puteri Fiona terlepas dari sumpahan tetapi masih menjadi orge. Tapi mereka bahagia.

Dalam Shrek 3, khalayak diajar supaya menjadi diri tanpa menghirau apa yang dikatakan masyarakat sekeliling. Watak-watak sisi gelap kisah dongeng yang cuba bersatu memberontak. Mereka menuntut keadilan untuk mengubah sejarah. Penamat yang menampilkan Putera Arthur menyedarkan mereka melalui khutbah pendek amat mengesankan.

Manusia boleh berubah menjadi apa yang mereka mahu. Tanpa menurut kehendak dan pandangan orang keliling. Kita memilih sendiri jalan dan arah hidup kita sendiri. Bukan persepsi masyarakat.

Shrek 3. Filem yang sangat baik ditonton. Tidak membosakan, malah sangat menghiburkan. Walaupun kelakarnya masih kalah kepada siri-siri terdahulu. 3.5 bintang.

Labels:

Spiderman 3

Spiderman antara sekuel superhero yang berjaya mengekalkan momentum boomnya. Tidak seperti Superman ataupun The Matrik. Dua contoh yang gagal. Tapi sayang, Spiderman 3 tidak menggembirakan saya. Saya tidak mahu ulas panjang. Terasa sangat membazir berlakon, mengarah, menonton dan mengulasnya.

Sinopsis

Naratifnya sangat klise. Ada musuh baru dicipta. Musuh yang kuat. Tapi akhirnya dikalahkan dengan bantuan dari yang lain. Yang pasti akhirnya dapat dikalahkan.

Kisah cinta bersegi-segi yang tak sudah-sudah.

Ulasan

Spiderman 3 hanya gah dan lebih baik dari satu sudut sahaja, Aksi. Yang lebih mendebarkan. Terutama ketika kren melanggar bangunan. Saya kira antara babak aksi yang terbaik tahun ini.

Itu sahaja yang lebih baik.

Pokok pangkal jalan ceritanya sangat klise. Seperti menonton drama bersisi. Setiap bersisi akan ada musuh baru muncul. Kuat. Tapi akhirnya dapat dikalahkan. Minggu depan ada musuh baru muncul dan kalah. Muncul lagi dan kalah. Itu yang berlaku dalam Spiderman 3. Hanya itu.

Dari sudut pembikinan, ini filem Hollywood tentunya bagus dan wow! Hebat. Tapi dari sudut jalan cerita boleh la 2 bintang.

Labels:

Thursday, May 10, 2007

Sumo-lah

Pengarah : Afdlin Shauki

Filem yang baik dihasilkan dari kombinasi skrip, pengarah dan pelakon yang baik. 3 unsur ini sangat mempengaruhi kejayaan sesuatu filem itu untuk berjaya baik di panggung mahupun di malam acara anugerah. Filem yang berjaya di panggung punya resipi yang berbeza dengan filem yang berjaya di malam acara anugerah.

Pengarah yang menghasilkan filem yang baik lazimnya menulis sendiri skrip lakon layer filem yang mahu diarah. Ini yang dilakukan oleh Yasmin, Shuhaimi Baba, Mamat Khalid dan Afdlin Shauki. Dengan cara ini kreativi pembikin filem tidak terbatas dan terganggu. Dan faktor ini akan menjadi lebih mantap jika pengarah yang juga merangkap penulis skrip tadi seterusnya mampu menerbitkan filem sendiri. Shuhaimi Baba bertuah kerana menjadi pengarah, penulis skrip dan penerbit sekaligus melalui Pesona Pictures. Datuk Yusof Haslam juga berjaya (di panggung) menggunakan formula tulis-arah-tebit sendiri.

Afdlin Shauki melalui 3 filem yang pertama (Buli, Bulik Balik dan Baik Punya Cilok) pada saya sangat berjaya (setidak-tidaknya berjaya mengangkat nama Afdlin sebagai pengarah). Afdlin tidak menerbitkan filem sendiri (tidak termasuk Sumo-lah), namun satu kelebihan yang dinikmati berbanding pembikin filem yang lain ialah, Afdlin mampu menjadi teraju utama melakonkan filem sendiri. Formulanya tulis-arah-lakon-(terbit untuk Sumo-lah).

Saya meminati Afdlin sejak filem Buli dan Fuyoo. Pada saya Afdlin adalah P.Ramle in the making. Justru saya memilih untuk menjadi penonton terawal menyaksikan naskah terbaru beliau Sumo-lah.

Sinopsis

Durasi Sumo-lah 2jam20 minit. Tempoh yang lebih panjang dari kebanyakan filem melayu. Awie dan Radhi Khalid menemani Afdlin menerajui filem mini.

Seperti semua maklum, Sumo-lah berkisar tentang pertandingan sumo yang ingin disertai Ramlee (Afdlin), Haris (Awie) dan Andy (Radhi). Persedian menyertai pertandingan ini membawa mereke hingga ke Jepun. Siti (Inthira Charoenpura) anak Honda (Patrick Teoh) menjadi rebutan Ramlee dan Akira (Gurmit Sigh). Kebetulan Akira dan Ramlee bertanding dalam kejohanan yang sama. Sumo.

Ulasan

Sumo-lah pada saya cerita biasa. Cerita biasa yang kita dengar. Yang menjadikan filem ini ada x-tra ialah gandingan pelakon-pelakon dari luar Negara (Gurmin dan Inthira). Serta penggambaran di Jepun yang menelan 1/3 dari kos produksi. Tidak seperti Buli, Buli Balik dan Baik Puny Cilok yang punya tarikan dari sudut jalan cerita. Ini agak mengecewakan saya. Saya tidak percaya Afdlin menulis skrip filem yang sangat biasa ini. Saya yakin 3 lagi penulis skrip bersekutu yang berperanan mencacamarbakan cerita dalam filem ini. Terlalu banyak skrip yang berbau buku teks terbitan DBP.

Kesan khas

Saya tidak nafikan kesan khas dalam filem ini masih cemerlang seperti filem-filem Afdlin terdahulu. Runut bunyi yang sangat baik lengkap dengan muzik koto dan sekali sekala terdengar petikan muzik zapin. Kesan bunyi sangat mengkagumkan saya terutama abak Akira dan Ramlee dalam perlawanan akhir sumo. Mengingatkan saya kepada beberapa babak dari filem Memoir of Geisha ketika Zhang Zi Yi menari dan filem Crouching Tiger Hidden Dragon tatkala Chow Yon Fatt dan Michelle Yeoh bertarung dipucuk buluh. Sungguh mengesankan.

Kesimpulannya Sumo-lah lebih panjang dari filem-filem Afdlin yang lain. Namun ini adalah filem Afdlin yang kurang saya gemari. Hasil kerjanya masih berkualiti tetapi tidak pada skripnya.

Labels: