e-episode

Wednesday, May 16, 2007

Puisi Cinta Buat Seorang Guru

Terangmu bukan bulan
Yang mengambang dan menyabit

Membias sianar matahari
Kemudian hilang selepas malam

Sinarmu bukan matahari
Ada masa cerah kemudian mendung
Sepi di balik awan
Yang hanya terbit pagi
Pasti tenggelam petang

Bukan juga lilin membakar
Yang mudah padam dihembus
Menanti cair dah habis

Tidak seperti pelita malam
Marak ketika bersumbu
Memuntahkan jelaga hitam
Menanti keringnya minyak tanah

Engkau guru adalah guru
Sifu, mahaguru dan cikgu
Yang tetap terang walaupun ditengah malam
Yang tetap bersinar walau awan berarak pekat dan berkepul
Yang tegar membakar diri biar cair
Biar kering minyak tanah

Guruku
Hanya Tuhan mampu membalas jasamu

Setiap hari adalah hari guru
Selamat Hari Guru

Riduan Khairi 16 Mei 2007

Thursday, May 10, 2007

Sumo-lah

Pengarah : Afdlin Shauki

Filem yang baik dihasilkan dari kombinasi skrip, pengarah dan pelakon yang baik. 3 unsur ini sangat mempengaruhi kejayaan sesuatu filem itu untuk berjaya baik di panggung mahupun di malam acara anugerah. Filem yang berjaya di panggung punya resipi yang berbeza dengan filem yang berjaya di malam acara anugerah.

Pengarah yang menghasilkan filem yang baik lazimnya menulis sendiri skrip lakon layer filem yang mahu diarah. Ini yang dilakukan oleh Yasmin, Shuhaimi Baba, Mamat Khalid dan Afdlin Shauki. Dengan cara ini kreativi pembikin filem tidak terbatas dan terganggu. Dan faktor ini akan menjadi lebih mantap jika pengarah yang juga merangkap penulis skrip tadi seterusnya mampu menerbitkan filem sendiri. Shuhaimi Baba bertuah kerana menjadi pengarah, penulis skrip dan penerbit sekaligus melalui Pesona Pictures. Datuk Yusof Haslam juga berjaya (di panggung) menggunakan formula tulis-arah-tebit sendiri.

Afdlin Shauki melalui 3 filem yang pertama (Buli, Bulik Balik dan Baik Punya Cilok) pada saya sangat berjaya (setidak-tidaknya berjaya mengangkat nama Afdlin sebagai pengarah). Afdlin tidak menerbitkan filem sendiri (tidak termasuk Sumo-lah), namun satu kelebihan yang dinikmati berbanding pembikin filem yang lain ialah, Afdlin mampu menjadi teraju utama melakonkan filem sendiri. Formulanya tulis-arah-lakon-(terbit untuk Sumo-lah).

Saya meminati Afdlin sejak filem Buli dan Fuyoo. Pada saya Afdlin adalah P.Ramle in the making. Justru saya memilih untuk menjadi penonton terawal menyaksikan naskah terbaru beliau Sumo-lah.

Sinopsis

Durasi Sumo-lah 2jam20 minit. Tempoh yang lebih panjang dari kebanyakan filem melayu. Awie dan Radhi Khalid menemani Afdlin menerajui filem mini.

Seperti semua maklum, Sumo-lah berkisar tentang pertandingan sumo yang ingin disertai Ramlee (Afdlin), Haris (Awie) dan Andy (Radhi). Persedian menyertai pertandingan ini membawa mereke hingga ke Jepun. Siti (Inthira Charoenpura) anak Honda (Patrick Teoh) menjadi rebutan Ramlee dan Akira (Gurmit Sigh). Kebetulan Akira dan Ramlee bertanding dalam kejohanan yang sama. Sumo.

Ulasan

Sumo-lah pada saya cerita biasa. Cerita biasa yang kita dengar. Yang menjadikan filem ini ada x-tra ialah gandingan pelakon-pelakon dari luar Negara (Gurmin dan Inthira). Serta penggambaran di Jepun yang menelan 1/3 dari kos produksi. Tidak seperti Buli, Buli Balik dan Baik Puny Cilok yang punya tarikan dari sudut jalan cerita. Ini agak mengecewakan saya. Saya tidak percaya Afdlin menulis skrip filem yang sangat biasa ini. Saya yakin 3 lagi penulis skrip bersekutu yang berperanan mencacamarbakan cerita dalam filem ini. Terlalu banyak skrip yang berbau buku teks terbitan DBP.

Kesan khas

Saya tidak nafikan kesan khas dalam filem ini masih cemerlang seperti filem-filem Afdlin terdahulu. Runut bunyi yang sangat baik lengkap dengan muzik koto dan sekali sekala terdengar petikan muzik zapin. Kesan bunyi sangat mengkagumkan saya terutama abak Akira dan Ramlee dalam perlawanan akhir sumo. Mengingatkan saya kepada beberapa babak dari filem Memoir of Geisha ketika Zhang Zi Yi menari dan filem Crouching Tiger Hidden Dragon tatkala Chow Yon Fatt dan Michelle Yeoh bertarung dipucuk buluh. Sungguh mengesankan.

Kesimpulannya Sumo-lah lebih panjang dari filem-filem Afdlin yang lain. Namun ini adalah filem Afdlin yang kurang saya gemari. Hasil kerjanya masih berkualiti tetapi tidak pada skripnya.

Labels: