e-episode

Thursday, June 14, 2007

Waris Jari Hantu

Pengarah : Shuhaimi Baba

Whitney Houstain dan Daborah Cox pernah menyanyikan sebuah lagu berjudul “Same Script, Different Cast”. Kisah perjalanan hidup yang sentiasa berulang-ulang. Hanya pelakon sahaja yang berbeza-beza. Filem-filem garapan Shumi pula sebaliknya, pelakon yang sama (kebanyakannya) dan skrip yang berbeza. Pun begitu, ia tidak sedikit pun mengurangkan minat penonton filem tempatan dari menanti buah tangan terbaru pengarah wanita tersohor ini. Beberapa nama dikenal pasti bekerjasama dengan Shumi bbuat pertama kalinya dalam file mini. Antaranya Rusdi Ramli (memegang watak Ari yang khunsa) dan Liza Othman (emak).

WJH bukan sebuah filem seram kata pengarah filem ini. Ia lebih cenderung kepada genre drama dan mistik. Justru kutipan tiket melebihi RM 1 juta hanya selepas satu minggu ditayangkan bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Bahkan membanggakan. Shumi melalui dua siri pontianaknya sudah berjaya menjenamakan buah tangannya ke satu jenama yang dipercayai. WJH tetap menjadi pilihan penonton walaupun diberi saingan sengit Pirate of Carribean dan Shrek 3. Ini tidak berlaku kepada penjenamaan Afdlin yang ternyata belum mapan. Sumo-lah benar-benar kalah kepada Spiderman 3.

Sinopsis

Kisah Tok Wan (Azean Irdawati) yang mencari pewaris kepada ilmu saka harimau yang dimiliki. Tok Wan memilih Tina (Maya Karin). Namun mendapat tentangan dari ahli keluara yang lain, tertama Mak Tina (Liza Othman). Ari pula menawar diri.

Ulasan

WJH sebuah filem yang sangat dramatik. Mengingatkan kepada filem Shumi terdahulu, Ringgit Kassorga dan Mimpi Moon. Pelukisan adat perpatih dalam keluarga minang. Watak-watak wanita diberi ruang ekspresi yang lebih banyak.

Perubahan Ari dari lelaki lembut kepada perempuan mengimbas kita kepada beberapa babak dari filem Thailand Beautiful Boxer. Ini ketara ketika Ari menari-nari di dalam rumah dengan selendang. Imej Ari dalam imej lelaki dan wanita diselang selikan.

Lakonan

Cemerlang. Bimbingan guru lakonan Fatimah Abu Bakar sangat berjaya membentuk Rusdi Ramli menghayati wataknya. (Walaupun diketahui Rusdi pernah membawa watak lelaki lembut dalam drama Yana dan Aden). Watak kecil yang paling mengesankan dalam filem ini tentunya watak Ida Nerina sebagai pegawai Jabatan Pendaftaran. Lakonan beberapa minit ini sangat berkesan dan natural. Syabas Ida.

Tidak ketinggalan Azean, Liza Othman dan Nanu.

Dua elemen utama yang menjadikan filem ini cemerlang bagi saya ialah skrip yang bagus dan runut bunyi yang tepat dan indah. Walaupun lagu-lagu latar WJH tidak menyengat seperti siri Pontianak, secara keseluruhannya runut bunyi masih cemerlang.

Oleh yang demikian saya tidak ragu-ragu menonton WJH sekali mahupun bebeapa kali lagi. 4 bintang. Semoga berjaya di panggung dan festival.

Labels:

Shrek 3

Ada dua faktor utama, kenapa saya suka filem-filem animasi Hollywood.

Satu : Filem animasi ditampilkan dalam Bahasa Inggeris yang kemas dan mudah difahami. Tiada ‘lahjah’ atau longat atau lebih mudah difahami ‘bahasa daerah’ yang caca marba. Tiada bahasa slanga yang haru-biru tata bahasanya. Kepada penonton berbangsa Melayu yang ingin belajar mendengar dan bertutur bahasa Inggeris dengan baik, tontonlah filem sebegini. Pengucapan dialognya juga sangat jelas.

Kedua : Filem animasi yang secara umumnya disasarkan kepada kanak-kanak, sangat dijaga tata tertib dan nilai moral di dalamnya.

Shrek 3 mengekalkan kejayaan siri-siri sebelumnya. Bikinannya sangat kemas. Malah Shrek edisi pertama pernah tercalon sebagai filem terbaik dalam Oscar. Sejak Beauty and The Beast rasanya sukar filem animasi menembusi kategori ini.

Sinopsis

Sambungan kisah hidup Shrek, makhluk orge (baca : raksasa) selepas mendirikan rumah tangga dengan Puteri Fiona. Shrek tersenarai sebagai pewaris takhta negeri Far Far Away (papan tandanya seperti papan tanda Hollywood).

Ulasan

Kalau Spiderman 3 (yang saya tak mahu ulas) pada saya gagal meneruskan ke’gah’an, maka Shrek 3 sebaliknya. Spiderman 3 bukan tidak bagus, tetapi dia tidak lebih baik dari Spiderman 2 dan 1. Akan tetapi Shrek 3 mampu setanding dengan siri sebelumnya dari sudut jalan cerita dan skrip.

Aksi Donkey masih dan Pussy Cat masih segar. Terutama ketika kedua watak ini tertukar indetiti selepas disihir.

Shrek (sejak siri pertama) sebenarnya seperti bercerita merentasi kisah-kisah dongeng yang lain. Dari watak Pinochio hinggalah ke Repunzel. Tidak keterlaluan jika saya katakan penulis Shrek cuba membuat pengkisahan semula kisah-kisah dongeng dalam Hollywood. Yang terbaru ialah kemasukan watak tukang sihir. Ini diambil dari kisah dongeng baru Hollywood, Harry Potter.

Dan filem Shrek paling kuat nilai murni yang cuba disampaikan. Dalam Shrek 1 penonton diajar tentang bahagia tidak semestinya cantik. Ini jelas ketika Puteri Fiona terlepas dari sumpahan tetapi masih menjadi orge. Tapi mereka bahagia.

Dalam Shrek 3, khalayak diajar supaya menjadi diri tanpa menghirau apa yang dikatakan masyarakat sekeliling. Watak-watak sisi gelap kisah dongeng yang cuba bersatu memberontak. Mereka menuntut keadilan untuk mengubah sejarah. Penamat yang menampilkan Putera Arthur menyedarkan mereka melalui khutbah pendek amat mengesankan.

Manusia boleh berubah menjadi apa yang mereka mahu. Tanpa menurut kehendak dan pandangan orang keliling. Kita memilih sendiri jalan dan arah hidup kita sendiri. Bukan persepsi masyarakat.

Shrek 3. Filem yang sangat baik ditonton. Tidak membosakan, malah sangat menghiburkan. Walaupun kelakarnya masih kalah kepada siri-siri terdahulu. 3.5 bintang.

Labels:

Spiderman 3

Spiderman antara sekuel superhero yang berjaya mengekalkan momentum boomnya. Tidak seperti Superman ataupun The Matrik. Dua contoh yang gagal. Tapi sayang, Spiderman 3 tidak menggembirakan saya. Saya tidak mahu ulas panjang. Terasa sangat membazir berlakon, mengarah, menonton dan mengulasnya.

Sinopsis

Naratifnya sangat klise. Ada musuh baru dicipta. Musuh yang kuat. Tapi akhirnya dikalahkan dengan bantuan dari yang lain. Yang pasti akhirnya dapat dikalahkan.

Kisah cinta bersegi-segi yang tak sudah-sudah.

Ulasan

Spiderman 3 hanya gah dan lebih baik dari satu sudut sahaja, Aksi. Yang lebih mendebarkan. Terutama ketika kren melanggar bangunan. Saya kira antara babak aksi yang terbaik tahun ini.

Itu sahaja yang lebih baik.

Pokok pangkal jalan ceritanya sangat klise. Seperti menonton drama bersisi. Setiap bersisi akan ada musuh baru muncul. Kuat. Tapi akhirnya dapat dikalahkan. Minggu depan ada musuh baru muncul dan kalah. Muncul lagi dan kalah. Itu yang berlaku dalam Spiderman 3. Hanya itu.

Dari sudut pembikinan, ini filem Hollywood tentunya bagus dan wow! Hebat. Tapi dari sudut jalan cerita boleh la 2 bintang.

Labels: