e-episode

Tuesday, December 26, 2006

Kongres Umat Islam Semalaysia (KUISMA)

Ada orang kaya baru ada orang miskin. Kalau semua orang kaya, maknanya tiadalah orang kaya. Itu mantiq. Orang Islam harus melengkapkan diri dengan ilmu mantiq. Barulah boleh berhujjah dengan orang-orang yang menyerang Islam dengan baik. Itu kata Ann Wan Seng. Orang Islam berketurunan Tiong Hua di Kubang Semang baru-baru ini.

Ramai tokoh dan cendekiawan menghadirkan diri untuk membentangkan permasalahan umat Islam di Malaysia fokusnya. Prof. Dr. Awang Sariyan, Prof Dr Aziz Bari, Prof Madya Dr. Sideq Baba, Nizal Mohamad pesonaliti TV3, Ustaz Ghani Shamsuddin dan ramai lagi. Sungguh-sungguh berwibawa mereka dalam membicarakan permasalahn umat Islam dari sudut bidang kepakaran masing-masing.

Bahasa Melayu

Ada 5 bahasa utama penyebatan agama Islam di dunia ini. Bahasa Arab (semestinya), Bahasa Farsi (Iran), Bahasa Turki, Urdu dan Bahasa Melayu. Jangan terkejut! Bahasa Melayu ada 600 juta penutur. Terdapat banyak usaha-usaha untuk melunturkan penggunaan 5 bahasa utama ini. Termasuk Bahasa Melayu. Bahasa Melayu sinonim dengan agama Islam di rantau Nusantara ini. Lemahnya Bahasa Melayu menandakan akan lemahnya kefahaman Islam dikalangan penganutnya di sebelah sini. Dan usaha melemahkan Bahasa Melayu berkadaran dengan pemerkasaan Bahasa Inggeris. Dan Bahasa Inggeris sinonim dengan Barat (US & UK) dan sinonim dengan agama Kristian. Kuatnya Bahasa Inggeris menandakan akan kuat juga penyebaran Agama Kristian. Bahasa Inggeris merupakan medium utama penyebaran agama Kristian, tidak Islam.

Inilah sebahagian intipati pembentangan Prof Madya Datuk Haji Zainal Abidin bin Borhan, Setiausaha 1 GAPENA (Gabungan Penulis Nasional). Beliau mewakili Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-VII dalam sessi ke-8 Kongres Umat Islam Semalaysia (KUISMA).

Sayangnya saya hanya sempat mengikuti hari kedua. Hari pertama saya menghadiri Seminar Kefahaman Budaya ke-11 di USM.

Kongres Um$$at Islam Semalaysia (KUISMA)
Tarikh          : 23-24 Disember 2006
Tempat       : Kompleks An-Nahdhoh Kubang Semang
Penganjur : Seketariat Jaringan Muafakat Pertubuhan2 Islam Perak (Jama’iy) dengan kerjasama Teras Pengupayaan Melayu

Labels: ,

Monday, December 25, 2006

Bicara : Pramoedya Ananta Toer

Magnus Opus Pram Tetralogi Pulau Buru lahir ketika beliau dipenjarakan di Pulau Buru. Yang ajaibnya naskah ini lahir dalam keadaan tanpa sebatang pena dan selembar kertas. Jadi bagaiman? Pram menceritakan ideanya kepada beberapa tahanan lain. Dan ianya dicatatkan semula selepas belau dibebaskan berpandukan ingatan teman-teman sepenjara. Menarik bukan. Pram dipenjarakan dari 1965 selama 14 tahun hingga 1979 (di negara kita Said Zahari pernah ditahan lebih 15 tahun tanpa bicara). Dalam jangkamasa inilah karya-karya besar beliau lahir. Bumi Manusia (1980), Anak Semua Bangsa (1980), Jejak Langkah (1988) dan Rumah Kaca (1988). Bahkan banyak lagi naskah-naskah lain yang banyak dilahirkan Bapak Pram dalam zaman penjaranya. Pram pernah beberapa kali tercalon untuk Hadiah Nobel Sweden.

Penjara sesungguhnya menjadi universiti atau medan tarbiyah yang cukup baik. Selain Pram, HAMKA juga berjaya menyiapkan Tafsir Al-Azhar di dalam penjara. Jangan lupa pada Syed Quthb yang banyak menghabiskan masanya menulis dari dalam penjara. (Sekadar menyebut beberapa contoh lain).

Sayangnya Pram tidak sangat dihargai bahkan dikenali di negara sendiri. Semua karyanya pernah diharamkan dari terbit dan diedarkan. Hanya pada tahun 2000 karya-karya beliau diterbitkan dan diedarkan secara meluas. Sedang Keluarga Gerilya sudah menjadi teks sastera tingkatan 6 di Malaysia dalam tahun 70-an.


Sayang Pram (1925-April 2006), hingga akhir hayatnya tidak pernah mendapat walau 100 rupiah (bersamaan 50 sen) wang royalti tulisan beliau. Walaupun hampir kesemua karyanya telah diterjemah kedalam 43 bahasa dunia. Ini dinukilkan oleh Dr Fatimah Busu (penulis Missing Piece) ketika memberikan pandanganya dalam Seminar Kefahaman Budaya ke-11 yang membicarakan tentang Pram.

Dengan nada kesal Dr. Fatimah mempersolkan mengapa kita mendahulukan tokoh dari luar sebelum membicarakan tokoh budaya dalam negara seperti P. Ramlee (Tan Sri), Shahnon dan 2 lagi nama yang disebut. 11 kerta kerja telah dibentangkan dalam Seminar yang diadakan secara tahunan ini.

Setakat ini saya baru memiliki beberapa buah buku Pram

1. Keluarga Gerilya

2. Bumi Manusia

3. Larasati

4. Gadis Pantai

5. Calon Arang

6. Bukan Pasar Malam



Sedang Pram ada hamper @ lebih 50 buah karya.

Dan paling sayang sekali, Pram tidak teguh dalam pegangan agamanya. Ketika ditanya adakah beliau marxis atau apa? Jawabnya mudah, saya bukan marxis atau komunis, saya Pramist. (Bertuhankan diri sendiri). Andai Pram tekun dan teliti dalam Islam yang diwarisi dari bondanya…. Namun hingga kini status agama Pram masih dipertikaikan. Priyayi, Santri atau Abangan?

Seminar Kefahaman Budaya ke-11
Pramoedya Ananta Toers ; Penjara dan Penapisan Peneguh Karya

Tarikh : 23 Disember 2006
Masa : 9.00 pagi – 5.00 petang

Tempat : Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia
Anjuran : Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM

Friday, December 22, 2006

Novel : Ayat-Ayat Cinta

Penulis  : Habiburrahman El-Shirazy, Sarjana Al-Azhar University Cairo
Editor    : Noraini Abu
Halaman : 503
Harga   : RM 22.90

Pemenang pena Award Novel Terpuji Nasional 2005
Pemenang Anugerah Penghargaan The Most Favourite Book 2005


Khabarnya bestseller di Indonesia mengalahkan jualan siri novel Harry Potter.

Sinopsis

Ayat-Ayat Cinta (AAC) seperti mafhum judulnya mengangkat tema cinta 4 segi yang sangat biasa dikisahkan dalam kebanyakan novel popular. Fahri penuntul sarjana berasal dari Indonesia terperangkap godaan cinta 3 wanita. Nurul ; gadis Indonesia yang sama menuntut di Kaherah yang menjadi idaman hati Fahri, Maria : gadis Mesir Kristian Koptik yang tinggal satu tingkat atas dari rumah fahri menyewa. Aisha : wanita berpurdah berdarah Jeman, Turki dan Palestin yang akhirnya menjadi isteri pilihan Fahri. Tidak ketinggalan watak wanita keempat yang menjadikan novel ini satu cerita, Noura ; wanita malang yang didera keluarga (yang akhirnya disedari bukan keluarga kandungnya), kemudian memporakperandakan hidup Fahri akibat menolak cinta nya. (sebelum itu Fahri melalui Maria pernah menyelamatkan Nouri.

Teknik

Plot-plot cerita dibangunkan dengan baik. Dikembangkan sederhana. Penulis tidak terlalu bersusah-payah memberi gambaran lokasi yang menjadi latar cerita ini. Pun begitu ianya masih estetik dan diingati. Pengarang lebih memberi perincian dari sudut nilai, pemikiran dan ideologi dalam naskah ini. Ini terkesan melalui perbahasan-perbahan fikih yang adakalanya diperpanjangkan dengan kadar yang berpatutan. Banyak rujukan nama-dan-judul-kitab dibuat. Ini yang memancing minat saya untuk membaca buat kali yang keseterusnya. Iya , kali pertama untuk tahu cerita. Kali kedua tentunya untuk lebih meneliti ide dan inti nya. Ini yang dipesankan Pak Samad (SN A.Samad Said) kepada penulis muda berbakat besar Faisal Tehrani (tetapi kenapa akhir-akhir ini kuat benar bau syiah dalam karyanya).

Pada saya novel ini kuatnya pada analisi fiqhnya yang mendalam.

Penutup yang cemerlang

Dan novel ini ditutup dengan bab yang sangat sadis. Maria yang bermimpi merayau-rayau mahu masuk ke syurga tapi dihalang lantas bertemu dengan Maryam ibu Isa. Bab ni ditulis dengan penuh emosi dan harapan. Hampir saja saya menitiskan air mata. Tanpa bab akhir ini saya kurang pasti adakah impaknya akan sama.

Pak Samad mengkelaskan AAC bersama ‘Ateist’, ‘Bumi Manusia’, ‘Merahnya Merah’, ‘Perburuan’ dan ‘Pulang’. Saya hampir bersetuju kalau dikelaskan dari sudut kejutannya pada dunia sastera Indonesia. Tapi dari sudut kesan dan kebesaran jiwa yang ada dalam AAC saya kira mungkin belum mampu menandingi besarnya jiwa Manusia dan yang seangkatan dengannya.

Novel popular

AAC dikategorikan sebagai novel popular. Satu kerana jualannya laris. Dibeli oleh orang yang banyak. Dua, Bertemakan cinta yang sering diangkat. Tiga, penggunaan bahasa yang mudah, sedikit pasar dan pecah (broken).

Saya tidak ada masalah dengan novel itu popular atau tidak. Serius atau cinta. Selagi mana ia mengangkat nilai murni sebagai tema, mempromosikan Islam sebagai cara hidup yang terbaik, dan ditulis dengan baik. Pada saya AAC adalah novel cinta yang berkualiti dan punya nilai intelektual yang tinggi.

Thursday, December 07, 2006

Filem : Cinta

Pengarah        : Kabir Bhatia
Penulis Skrip : Mira Mustapha
Pelakon          : Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Nanu Baharudin, Rashidi Ishak, Rita Rudaini, Pierre Andre, Que Haidar dan Sharifah Amani dan lain-lain lagi.

Filem cinta gah dari sudut promosi. Saya tahu wujudnya filem ini ketika promosi di KL Central (salah satu lokasi penggambaran filem ini). Membariskan ramai pelakon-pelakon handalan (tentunya mahal) saya kira satu percubaan yang amat berani. Diarahkan pula oleh orang yang belum dikenali. Ini satu risiko yang sangat tinggi. Ramai pengarah box-office pernah gagal di panggung akibat salah arah filem. Razak Moheiden (Main-Main Cinta), Yusof Haslam (Sembilu 2005) hatta Bade sekalipun (Berlari Ke Langit). Inikan pula Kabir Bhatia. Siapa Kabir Bhatia?

Berjaya gagal sesuatu filem sangat bergantung kepada tema dan jalan cerita. Bukan pengarah. Bukan pelakon. Tapi yang paling menonjol ialah teman dan jalan cerita. Tema yang paling disukai rakyat Malaysia ialah komedi dan seram. Bukan cinta. Sebab dalam semua filem ada cinta. Embun ada cinta (Embun dan lelaki Jepun). Pontianak pun ada cinta. Tapi faktor komedi dan seram bukanlah muktamad. Banyak juga contoh filem komedi yang gagal (merujuk kepada gagal di panggung). Contoh Main-main Cinta. Contoh lain Diva Popular.

Dan Cinta hanya kisah cinta. Setelah menonton trailer saya yakin filem ini menarik dan menjanjikan sesuatu yang lain dan memuaskan. Bertabah yakin lagi apabila ramai pengkritik filem bebas memuji filem ini. Akan tetapi sangat prejudis dengan kebolehjualaan-tiketnya. Cinta hanya ada tarikan pada cintanya sahaja. Tidak pada tarikan pelakon-pelakonnya. Sungguh. Dan saya menonton filem ini.

Saya menjangjakan saya akan suka dengan filem ini. Dan ini benar. Untuk beberapa minit yang pertama saya teruja dan terharu. Susah mahu dapat lihat Kuala Lumpur (boleh juga baca Malaysia) digambarkan dengan indah dan jujur dalam layar perak. Sinematografinya cukup indah.Lebih indah dari kebanyakan filem iklan. Dan saya terharu dan bangga kerana filem ini filem kisah rakyat Malaysia walaupun diarahkan oleh pengarah dari India.

Namun apa yang lebih membuatkan saya teruja ialah jumlah kehadiran penonton yang baik. Tayangan hari pertama (Khamis) berlokasi di sebuah kompleks membeli belah di Prai (sebuah kawasan majoriti bukan Melayu). Dengan jumlah penonton melebihi separuh tempat duduk adalah sesuatu yang jarang-jarang dapat dilihat. Ingat. Ini bukan filem arahan Razak Mohaideen. Dan ini juga bukan filem lakonan Apek mahupun Rosyam Nor.

Dan saya menghela nafas panjang tanda syukur. Akhirnya kita ada sebuah filem baik yang mahu ditonton. Banyak filem baik telah lahir, malangnya tidak ditonton dengan baik oleh masyarakat Malaysia (melayu terutamanya).

Ulasan

Cinta sebuah filem cinta seperti yang kita dengar, tonton dan baca. Skripnya bagus tapi tidaklah ada sesuatu yang luar biasa atau lain dari yang lain dari kisah hidup masyarakat. Cuma yang lain mungkin pada penonton filem tempatan ialah kaedah bercerita dan 5 cerita yang berbeza dimasukkan dalam satu filem. Itu sahaja. Cuba tonton filem Memento ataupun Morir (o no) (2000) (filem Sepanyol).

Lakonan yang cemerlang. Mutu dan karisma seseorang pelakon sangat berkadaran langsung dengan skrip dan arahan. Saya setuju kalau ada yang mengatakan lakonan keseluruhan pelakon dalam filem ini baik, walaupun tidak semuanya cemerlang. Datuk Rahim Razali dan Fatimah Abu Bakar kita semua tahu kebolehan mereka. Tapi dalam filem ini pelakon seperti Eizlan, Rita Rudaini dan Rashidi Ishak teruji dan nampak berkesan. Ingat Umie Aida yang pernah memang Pelakon Wanita Terbaik dalam Embun, tetapi dalam Diva Polular lakonannya langsung tidak berkesan.

Secara keseluruhannya Cinta sebuah karya yang bagus yang membanggakan. Sayangnya ia bukan diarahkan oleh pengarah Malaysia. Dan dari faktor itu beberapa kelemahan dalam pengolahan filem ini nampak ketara. Satu darinya ialah watak Ma Bi yang mahu menjaga Cikgu sedangkan mereka tiada apa-apa ikatan. Jangan pertikai soal hukum, bahkan dari sudut norma masyarakat melayu (walaupun di kota) nampak janggal. Mungkin lebih baik kalau ia dirasionalkan dengan pernikahan atau jalan-jalan yang lain.

Akhirnya saya mencadangkan supaya filem Cinta ini disambung @ dikembangkan lagi. Sama ada dalam filem-filem yang lain (seperti Sepet-Gubra-Mukhsn) atau pun drama bersiri (seperti Gol & Gincu). Sebab 2 jam dalam filem ini untuk mengkisahkan 5 kisah cinta terlalu singkat.

Rangking pelakon

1. Rahim Razali
2. Fatimah Abu Bakar
3. Nanu Baharuddin
4. Rita Rudaini
5. Rashidi Ishak
6. Lain-lain...