e-episode

Saturday, February 03, 2007

Pemikiran Lateral dan 6 Kaedah Berfikir

Edward De Bono mengajarkan 6 kaedah berfikir dipanggil ‘Six Thinking Hat’. Ada topi hijau untuk percambahan idea kreatif. Ada topi kuning untuk pemikiran konstruktif. Topi putih untuk analisis dan objektif. Topi hitam untuk pemikiran negatif dan berisiko. Manakala topi merah untuk emosi. Dan satu lagi topi biru untuk pemimpin paling atas.

Pemikiran Lateral gagasan De Bono memuatkan 6 kaedah berfikir. De Bono sangat mengkritik pemikiran secara kritikal semata yang menurutnya diwarisi dari tradisi Greek dan Yunani. Hanya ketika ini De Bono menggunakan tradisi pemikiran Greek dan Yunani hanya bersifat binari atau hitam putih. Benar atau salah. Jika kita mampu mebuktikan orang lain salah, maka kitalah yang paling benar. Kemenangan berpihak kepada pasukan atau individu yang paling mampu membuktikan orang lain salah. Pemenang dalam takrifan ini adalah orang yang mempu mengalahkan orang lain.

“We use our best brain to destroy other ideas”


Maka lahirlah pemegang sarjana dan doktoral yang hanya mampu mencantas dan mengkritik idea dan teori orang lain. Tugas dan kerja professor dan sarjana ini (kebanyakannya) keluar untuk memborngkar keduk dan kelemahan orang lain. Sedang idea dan teori ciptaan sendiri entah kemana.


Berlaku satu perbualan ahli akademik Indonesia dan ahli akademik dari Malaysia.


Indonesia : Dosen (pensyarah) Malaysia bagaimana?
Malaysia : Dosen Malaysia luar biasa. Banyak menulis kertas kerja dan juga menulis kulit buku (sedang bukunya tidak siapa-siapa). Dosen Indonesia pula bagaimana?
Indonesia : Dosen Indonesia pula biasanya di luar. (merujuk kepada ahli akademik Indonesia sangat dimanfaatkan oleh masyarakat di luar kampus).

Namun begitu agak janggal jika kita terus meninggalkan pemikiran secara kritis. Dalam topi kuning juga ada unsur kritis. Tapi kritis yang membina dan untuk memperbaiki.


Dalam tradisi Islam ada disiplin ilmu yang dipanggil ‘jarah wa ta’dil’, membawa maksud kritik dan saran (ada yang terjemah puji). Dalam menilai sesuatu tulisan dan idea mahupun peribadi tokoh itu sendiri dua sisi bertentangan diberi penilaian yang adil. Tiada idea dan teori yang semuanya buruk-buruk belaka. Dan tidak ada juga naskah yang semuanya baik-baik dan benar-benar belaka melainkan Kitab Allah dan Hadith yang thabit.


Contoh naskah besar yang di’jarah’ dalam tradisi ilmu Islam ialah Ihya’ Ulumuddin tulisan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahullah. Kitab Ihya merupakan magnum opus Al-Ghazali selain naskah lain beliau yang banyak sekali mengkritik kesesatan ilmu kalam dan falsafah. Kitab ini dikritik hebat dari sudut beberapa bahagian dari kandungannya yang berbaur kesufian melampau dan kedudukan-kedudukan hadith yang dirujuk banyak sekali diragui sanadnya. Hinggakan Al-Iraqi membuat kajian khusus bagi menilai kedudukan hadith dalam Ihya yang nyata banyak sekali hadith yang lemah (dhaif) bahkan ada yang palsu (maudhu’).


Ihya walaupun lahir dari tangan tokoh ilmuan besar ianya tidak diterima bulat-bulat. Dan tidak juga ditolak bulat-bulat. Ternyata banyak sekali ilmu dan kajian mendalam Al-Ghazali yang dapat diambil manfaat. Di sini ta’dil berperanan.


Sikap yang demikian juga perlu diambil ketika menaggapi karya-karya Ibn Taimiyyah di Nusantara ini. Walaupun semua maklum aliran pemikiran madrasah Ibn Taimiyyah dan Imam Al-Ghazali tidak pernah berhenti bertentang sejak ratusan tahun dahulu. Menurut Yusuf Al-Qaradhawi, konflik aliran sebegini jika tidak ditanggapi dengan kritik dan saran yang benar berlandaskan nas, nescaya akan merugikan institusi ilmu Islam, umat Islam dan dunia umumnya.


Sudah sampai masanya kita beralih dari berfikir secara hitam putih kepada kaedah berfikir yang lebih dinamik. Nabi sendiri pun selalunya amat lambat menghukum sesuatu itu hitam ataupun putih sebelum mendapat keterangan yang lebih lanjut.


(disesuaikan dari ceramah Bengkel Pemikiran Lateral oleh Puan Ainon Mohamad)

Labels: ,

Monday, January 29, 2007

Wacana Gerak Andalusia

Zaman Keemasan Sains Islam di Andalusia : Satu Pengarajan bagi Malaysia
Osman Bakar, PhD
Profesor Emiritus Universiti Malaya
Profesor Pemikiran Islam, ISTAC, UIAM

Semenanjung Iberia di bawah pemerintahan Islam, yang meliputi dua buah negara moden, iaitu Sepanyol dan Portugal, terkenal dengan nama Andalusia. Pemerintahan Islam di Andalusia dapat bertahan hampir selama lapan kurun (711-1492) walau pun wilayah kekuasaannya terus-menerus mengecil selepas kurun ketiga belas. Kehadiran Islam di Andalusia sebagai agama, sebagai umat, sebagai negara dan sebagai tamadun telah meninggalkan dampak signifikan ke atas peradaban Eropah khususnya dan peradaban dunia amnya. Sepanyol dan Portugal di bawah Islam menjadi wilayah termaju di Eropah dalam segenap bidang kehidupan.


Salah satu pencapaian terpenting Andalusia ialah dalam bidang sains dan teknologi. Ilmu dan budaya saintifik berkembang maju dengan pesatnya di bumi Andalusia selama lebih kurang empat kurun, iaitu dari kurun kesepuluh hingga ke kurun ketiga belas. Kurun-kurun kesebelas dan keduabelas bolehlah dianggap sebagai zaman keemasan sains Islam di Andalusia. Dua puluh tokoh saintis Muslim terkemuka di Andalusia hidup dalam tempoh dua kurun tersebut. Di antaranya ialah al-Zahrawi, Ibn Bajjah, Ibn Rusyd, Ibn Tufail, al-Bitruji dan al-Idrisi. Dalam tempoh waktu tersebut Andalusia merupakan di antara pusat aktiviti sains dan teknologi termaju di dunia.


Ada perbagai faktor yang telah menyumbang kepada kemajuan sains di Andalusia. Di antaranya termasuklah iklim intelektual dan keagamaan yang sihat, peranan penterjemahan, sains polisi Negara dan penaungan aktiviti saintifik. Pengalaman Andalusia mempunyai mesej penting bagi Malaysia kontemporari. Andalusia merupakan sebuah Negara majmuk seperti mana Malaysia hari ini. Di bawah naungan pemerintahan Islam, umat Islam, umat Kristian, dan umat Yahudi telah berjaya menunjukkan bahawa mereka mampu membina sebuah budaya dan sebuah tamadun sepunya di atas landasan nilai-nilai universal yang sememangnya diperjuangkan oleh agama Islam. Sememangnya ada banyak perkara yang boleh dipelajari oleh Malaysia daripada saisn Islam di Andalusia. Bagi Malaysia khasnya dan bagi umat Islam sedunia amnya, Andalusia telah menunjukkan jalan bagaimana Islam sekali lagi dapat menjadi sumber inspirasi kepada kemajuan sains di dalam kontekas masyarakat atau dunia yang bersifat majmuk dan pluraistik. Dalam ceramah saya nanti saya akan menjelaskan dengan lebih lanjut lagi bagaimana pengalaman Andalusia boleh dijadikan teladan dan sempadan oleh Malaysia.


(petikan abstrak Wacana Gerak Andalusia)


Anjuran : Sekretariat Falsafah dan Sains Islam, Pusat Pengajian Ilmu Islam USM
Tarikh : 26 Januari 2006
Tempat : Dewan Persidangan Univ. Sains Malaysia

Labels: ,