e-episode

Monday, January 29, 2007

Wacana Gerak Andalusia

Zaman Keemasan Sains Islam di Andalusia : Satu Pengarajan bagi Malaysia
Osman Bakar, PhD
Profesor Emiritus Universiti Malaya
Profesor Pemikiran Islam, ISTAC, UIAM

Semenanjung Iberia di bawah pemerintahan Islam, yang meliputi dua buah negara moden, iaitu Sepanyol dan Portugal, terkenal dengan nama Andalusia. Pemerintahan Islam di Andalusia dapat bertahan hampir selama lapan kurun (711-1492) walau pun wilayah kekuasaannya terus-menerus mengecil selepas kurun ketiga belas. Kehadiran Islam di Andalusia sebagai agama, sebagai umat, sebagai negara dan sebagai tamadun telah meninggalkan dampak signifikan ke atas peradaban Eropah khususnya dan peradaban dunia amnya. Sepanyol dan Portugal di bawah Islam menjadi wilayah termaju di Eropah dalam segenap bidang kehidupan.


Salah satu pencapaian terpenting Andalusia ialah dalam bidang sains dan teknologi. Ilmu dan budaya saintifik berkembang maju dengan pesatnya di bumi Andalusia selama lebih kurang empat kurun, iaitu dari kurun kesepuluh hingga ke kurun ketiga belas. Kurun-kurun kesebelas dan keduabelas bolehlah dianggap sebagai zaman keemasan sains Islam di Andalusia. Dua puluh tokoh saintis Muslim terkemuka di Andalusia hidup dalam tempoh dua kurun tersebut. Di antaranya ialah al-Zahrawi, Ibn Bajjah, Ibn Rusyd, Ibn Tufail, al-Bitruji dan al-Idrisi. Dalam tempoh waktu tersebut Andalusia merupakan di antara pusat aktiviti sains dan teknologi termaju di dunia.


Ada perbagai faktor yang telah menyumbang kepada kemajuan sains di Andalusia. Di antaranya termasuklah iklim intelektual dan keagamaan yang sihat, peranan penterjemahan, sains polisi Negara dan penaungan aktiviti saintifik. Pengalaman Andalusia mempunyai mesej penting bagi Malaysia kontemporari. Andalusia merupakan sebuah Negara majmuk seperti mana Malaysia hari ini. Di bawah naungan pemerintahan Islam, umat Islam, umat Kristian, dan umat Yahudi telah berjaya menunjukkan bahawa mereka mampu membina sebuah budaya dan sebuah tamadun sepunya di atas landasan nilai-nilai universal yang sememangnya diperjuangkan oleh agama Islam. Sememangnya ada banyak perkara yang boleh dipelajari oleh Malaysia daripada saisn Islam di Andalusia. Bagi Malaysia khasnya dan bagi umat Islam sedunia amnya, Andalusia telah menunjukkan jalan bagaimana Islam sekali lagi dapat menjadi sumber inspirasi kepada kemajuan sains di dalam kontekas masyarakat atau dunia yang bersifat majmuk dan pluraistik. Dalam ceramah saya nanti saya akan menjelaskan dengan lebih lanjut lagi bagaimana pengalaman Andalusia boleh dijadikan teladan dan sempadan oleh Malaysia.


(petikan abstrak Wacana Gerak Andalusia)


Anjuran : Sekretariat Falsafah dan Sains Islam, Pusat Pengajian Ilmu Islam USM
Tarikh : 26 Januari 2006
Tempat : Dewan Persidangan Univ. Sains Malaysia

Labels: ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home