Jibam
Penulis : Ujang
Penerbit : Creative Enterprise
Tahun : 2006
Cetakan : Ke-Sembilan
Mukasurat : 186
Anekdot
Dunia yang bulat, adalah bersegi baginya. Benda yang hodoh menjadi cantik pada pandangan mata. Katak pisang dan binatang kecil adalah teman sepermainannya. Nyanyian untuknya amat pilu mengusik jiwa. Dia di sambut bukan di pesta besar. Sambutan diterima adalah sepak terajang dan penghinaan. Air mata adalah teman, tetapi tak pernah dimengertikan. Dia terus hidup, terus bermain di dalam dunianya. Jibam terus melangkah, penuh gah, memburai rahsia kematian ayahnya. Namun dia tetap tabah.
Ini anekdot yang tercatat di belakang kulit novel ini.
Sinopsis
Jibam anak yang unik. Sedikit lembap otak dan fikirannya. Namun mewarisi kepandaian bapanya Suman mengubat penyakit. Suman mati terbunuh dalam perut hutan. Dan kematiannya sungguh misteri.
Jibam dimusuhi Tuk Ngah Sudin. Selalu benar Sudin sering memperdajalnya. Dan sesering itulah Jibam dibantai teruk oleh Tok Ngah Sudin.
Jibam juga dibenci Usin Singai. Marahnya Usin Singai memuncak tatkala basikal tuanya dicat biru oleh Jibam. Hinggakan ayam dalam rebannya pun biru dikerjakan Jibam. Usin Singai menetap di atas tanah Tok Ngah Sudin yang sebenarnya dimiliki oleh Suman.
Dan Jibam, anak yang bodoh alang itu, perlahan-lahan membongkar rahsia kematian ayahnya. Ilmu ghaib yang diwarisi dari ayahnya serta khianat dan dendam kesumat Tok Ngah Sudin dan Usin Singai.
Ulasan
Mengikut definisi seorang ahli panel Bengkel Kajian Novel Popular anjuran DBP baru-baru ini, Jibam saya kategorikan sebagai novel popular. Kerana Jibam merupakan antara novel melayu terlaris. Naskah yang berada di tangan saya adalah cetakan ke-9. Dan Khabarnya sudah lebih 100,000 naskah terjual. Dan yang paling menarik harganya hanya RM11.90. Novel Pop biasanya berkisar latar belakang bandar. Tapi Jibam kanvasnya ialah sebuah kawasan kampong yang sangat pedalaman.
Jibam banyak unsur humor memanfaatkan kebodohan watak utama yakni Jibam sendiri. Ini klise dalam masyarakat Melayu. Mempersendakan orang bodoh, orang pekak, orang tua dan lawak cakap jerit-jerit. Lawak barat ialah lawak bercakap-cakap-mengenai-keburukan-sendiri-selepas-mabuk-todi selain lawak baling-kek-ke-muka serta lawak baling-tepung-buat-kek.
Jibam novel santai yang sarat dengan drama dan konflik dilukis dengan cara yang santai namun masih mengekalkan keindahan bahasa.
Labels: Novel Malaysia
0 Comments:
Post a Comment
<< Home