Friday, August 24, 2007
Kerja-kerja pemindahan kubur Ngan Ibrahim sudah pun selesai. Kini giliran catatan-catatan di e-episode akan dipindahkan ke tapak baru. ikatkata . wordpress .com. Dijangkakan mengambil masa lebih seminggu. Lapor Encik episode selaku pengarah projek pemindahan.
Friday, August 17, 2007
Black Book
Pengarah : Paul Verhoeven
Bahasa : Hebrew
Tagline
“Black Book is a crackling good melodrama – inspired remarkably, by actual events – with few clearly defined heroes and villains. !!”
Sinopsis
Latar belakang Hollan 1944, tahun terakhir perang dunia kedua. Seorang wanita Yahudi Elis cuba menyelamatkan diri dari tentera German. Bergabung bersama Yahudi-Yahudi yang lain. Berlarutan hingga tamatnya perang dunia kedua. Ini kisah pengkhianatan orang Yahudi terhadap bangsanya sendiri.
Ulasan
Tentu ada yang maihn ingat sebuah drama Melayu lakuna wanita Tiong Hua bernama Alice Voon. Drama Siapa bunuh Alice.
Tetapi dalam filem ini kita diajak untuk merungkai persoalan ‘Siapa yang mengkhianati Elis?’
Selepas menikmati siri kekezaman terhadap bangsa Yahudi dalam Shcindler’s List (Steven Spielberg) dan Life Is Beautiful (Benito Benigni), saya mula mual dengan filem-filem yang memberi simpati kepada Yahudi. Begitu banyak filem yang saya beli namun akhirnya tidak saya tonton. Tetapi Black Book tidak sekadar bercerita tentang simpati kepada kekejaman Nazi ke atas bangsa Yahudi.
Filem ini bercerita panjang tentang pengkhianatan orang yahudi terhadap bangsanya sendiri. Menariknya persoalan ini hanya terungkai menjelang minit-minit terakhir. Sangat bagus penulis filem ini menyembunyikan dan melalukan begitu banyak ‘twist’.
Tontonlah.
Labels: Filem Hollywood
The Departed
Pengarah : Martin Scorsese
Pelakun : Leonardo De Caprio, Matt Damon, Jack Nicholson & Mark Whalberg
Sinopsis
Kisah operasi sepasukan polis mencekup sekumpulan penjenayah besar. Castello nama diberi (bukan Rosyam Nor) lakonan Jack Nicholson. Castello menyusupkan seorang spy dalam pasukan polis itu (Matt Damon). Dari sisi yang lain pula pasukan polis sebenarnya sudah pun memasukkan seorang spy dalam pasukan penjnayah itu (De Caprio).
Setiap pihak cuba menyelidik siapakah yang menjadi dalang dan tali barut. Nampak mudah. Kan tetapi sebenarnya begitu banyak ‘twist’ berlaku dalam filem ini. Hinggakan saya sendiri tersandar menerima hakikat bagaimana filem ini disudahkan.
Ulasan
Stori filem ini sangat bagus. Adaptasi dari sebuah produkasi Hong Kong ‘Infernal Affairs’. Kagum sekali. Bukan pertama kali Hollywood membeli hak cipta filem-filem Hong Kong untuk di’remake’. Malaysia bila lagi agaknya.
The Departed sebuah filem tragik yang kaya dengan konflik dan drama. Kisah dunia jenayah yang serba hitam dan kejam. Teringin sekali saya tonton bersi asal filem ini. Tentu sentuhan dan tafsirannya berbeza.
Lakonan
Leonardo De Caprio mendapat pencalonan berganda dalam Oscar dalam tahun filem ini diterbitkan. Satu dari pencalonan itu diraih dari The Departed. Secara peribadi saya meminati lakonan De Caprio sejak dari filam Titanic lagi. Nyata Scorsese senang sekali bergandingan dengan aktor yang sedang meningkat naik ini. Gang of New York, The Aviator dan The Departed.
Hanya saja belum rezeki De Caprio untuk menang. Sepertinya juri sirna untuk menilai lakonan yang baik dari produksi filem yang baik. Kebanyakan pemenang-pemenang kategori lakonan dipilih dari filem-filem yang tidak ‘outstanding’. Dan The Departed ‘outstanding’ di mata para juri dan di beri beberapa anugerah kategori yang lain.
Yang lain-lain, Nicholson – entah kenapa sejak dari As Good As It Gets saya tidak meminatinya. Mungkin kerana menggoda wanita muda. Orang tua tidak sedar diri! Matt Damon berlakon dengan bagus. Cumanya mungkin tidak cukup hensem agaknya.
Mark Whalberg!. Apalah agaknya yang boleh dilakukan oleh model seluar dalam ini. Whalberg sangat sesuai berlakon filem-filem aksi-aski melompat-lompat dan berkejar-kejar plus buka-buka baju. Tetapi tidak filem drama yang punya banyak konflik.
Labels: Filem Hollywood
Thursday, August 02, 2007
Bukan Pasar Malam
Penulis : Pramoedya Ananta Toer
Penerbit : Lentera Dipantara 2002
Tebal : 104 mukasurat
Novel ini pertama kali diterbitkan oleh Dinas Penerbitan Balai Pustaka pada tahun 1951.
Naskah ini dimulakan dengan sekeping surat.
‘Sesungguhnya surat itu takkan menyayat hatiku, kalau saja sebelumnya aku tak mengirimi surat yang berisi sesuatu yang tak enak untuk dibaca. Begini kata surat yang kuterima itu :
Blora, 17 Desember 1949
Anakku yang kucintai,>
(dan seterusnya…)’
Sangat menyentuh.
BPM berkisar seorang anak yang pulang ke kampung menziarahi oran tua yang sedang tenat. Berhari-hari si anak berlamaan di kampung hingga ke hari terakhir orang tuanya menyedut nafas di bumi.
Kisah bermula dari perjalanan menaiki kereta dari kota, menemani orang tua ke wad hospital dan detik akhir orang tua yang mahu mati di kamar sendiri. Seputar perjalanan itu, terungkap beberapa potong puing gejolak hati yang tak pernah teranggap dalam gebyar-gebyar revolusi.
Dengan hanya 104 halaman, Pram mengungkap begitu banyak persoalan, falsafah dan nasihat hidup. Tidak seperti Perburuan yang dilukis termata terperinci. BPM mengandungi banyak sekali dialog-dialog berbentuk nasihat dari orang tua kepada anak muda.
Ah! Terlalu kerdil rasanya mahu mengulas novel manusia besar ini.
Bukan Pasar Malam terungkap dari :
‘Dan di dunia ini, manusia bukan berduyun-duyun lahir di dunia dan berduyun-duyun pula kembali pulang… seperti dunia dalam pasarmalam (sengaja dieja rapat)… Seorang-seorang mereka datang. Seorang-seorang mereka pergi. Dan yang belum pergi dengan cemas-cemas menunggu saat nyawanya terbang entah ke mana…’
Labels: Novel Indonesia, Pramoedya Ananta Toer
Saya Tidak Mahu Kaya tetapi Harus Kaya
Penulis : Aa Gym
Penerbit : PTS Millenia 2007
Halaman : 125
PTS sangat paling cemerlang dalam memasarkan buku-buku terbitannya. Baik dari aspek pemilihan penulis, judul buku mahupun rekabentuk kulit. Dan buku ini menepati sebuah produk yang ideal.
Aa Gym seorang penulis Indonesia, yang juga seorang pendakwah dan tokoh perniagaan. Terkenalan dengan siri pengurusan kalbu. Aa Gym dilihat sebagai tokoh serba boleh dan mampu berprestasi dalam bidang dakwah, seni dan perniagaan.
Konsep kaya di dalam buku ini dibicarakan dalam konsep yang lebih besar dan luar. Kaya bukan sahaja dari sudut harta, bahkan lebih lagi dari sudut jiwa dan sikap. Ini yang dikupas dengan panjang. Tentang konsep harta, rezeki dan kaya yang sebenarnya dalam Islam.
Ini sangat penting. Ramai manusia yang berusaha untuk kaya dari sudut harta, nama dan gelar. Namun tanpa memperkayakan diri dengan sifat-sifat yang baik dan kuat (meminjam konsep A$a Gym).
Menurut Aa Gym orang yanga benar-benar ingin kaya perlukan karakter baik dan kuat. Karakter baik ialah jujur, amanah, ikhlas, dermawan. Manakala karakter kuat pula disiplin tegar, cermat dan beberapa lagi yang lain. Orang kaya yang hanya kuat tetapi tidak baik akan menghasilkan manusia kapitalis. Banyak harta tetapi tidak bermanfaat kepada orang lain. Begitu juga sebaliknya.
Penulis turut membincangkan konsep rezeki dalam Islam. Subjek ini sangat menarik, kerana ia jarang sekali dibicarakan oleh penulis-penulis motivasi perniagaan akhir-akhi ini. Saya mencadangkan sebuah buku yang ditulis oleh Sheikh Mutwalli Sya’rawi bertajuk ‘Konsep Rezeki Dalam Islam’ terbitan Pustaka Syuhada.
Tuntasya, buku ini menjelaskan kepada kita tentang peri perlunya kita, yakni orang Islam supaya kaya. Entah mengapa begitu ramai ummat Islam hari ini yang enggan menjadi kaya dan punya banyak harta! Di suruh berniaga tidak mahu.
Labels: Buku Indonesia, Buku Motivasi, PTS
Wednesday, August 01, 2007
Littel Miss Sunshine
Hingga saat ulasan ini dibuat, saya telah tonton filem ini dua kali. Kali kedua saya rekomen kepada seorang teman yang hanya menonton filem-filem blockbuster biasa. Dia tanya samaada saya menyimpan dvd Tranformers? Saya katakan tidak. Ternyata filem ini berjaya ditonton hingga ke akhir tanpa rasa jemu. Ulasnya ringkas.
Little Miss Sunshine merupakan sebuah produksi bajet kecil Hollywood dengan pelakon tidak cantik dan tidak terkenal. Namun sesuatu yang menarik, filem ini berjaya mencalonkan diri dalam banyak kategori utama Oscar dan juga menang beberapa kategori mengalahkan beberapa filem bajet besar.
Sinopsis
Little Miss Sunshine sebuah kisah perjalanan sebuah keluarga dari Alburqueque (betulkan ejaan) ke California. Kalau Transameria mengisahkan perjalanan seorang lelaki yang ingin menjadi wanita mencari anaknya, Little Children pula perjalanan untuk menyertai pertandingan ‘ratu cantik’ Little Miss Sunshine. Sepanjang perjalanan penonton diperkenalkan dengan setiap ahli keluarga.
• Ayah, seorang pakar motivesi yang belum berjaya.
• Ibu, seorang suri rumah. Lakonannya mirip Fellicity Huffman dalam Desperate Housewives.
• Datuk, seorang penagih dadah tua yang tegar.
• Pak cik, seorang homo yang baru selamat dari cubaan membunuh diri.
• Anak lelaki remaja yang bertekad untuk tidak becakap sehingga berjaya masuk ke Akademi Tentera Udara.
• Dan anak gadis kecil yang bersungguh-sungguh ingin menyertai Little Miss Sunshine.
Ulasan
Filem ini sebuah drama keluarga. Genre kegemaran saya sepanjang zaman. Cara filem ini dibikin dengan runut bunyi yang indah. Mengintakan saya kepada filem I Am Sam. Juga terselit unsur-unsur ska dalam muzik latar ini.
Saya suka dengan mesej positif yang cuba disampaikan dalam filem ini.
1. Tentang semangat untuk berjaya. Seperti kata ayah yang juga seorang pakar motivasi. ‘Tuah’ hanya alasan yang digunakan oleh orang gagal.
2. Jadi apa yang kita mahu jadi. ‘It’s ok if you want to be fat or skinny. You are what you are’.
3. Konsep kematian. ‘Kalau Tuhan mahu mengambil datuk terlebih dahulu, maka kita harus
bersedia melepaskan dia pergi’. Saya tidak sangka dialog ini wujud dalam sebuah filem Hollywood.
Filem ini bebas dari aksi kurang sopan. Hanya satu babak ketika polis trafik membelek majalah lucah yang dibeli oleh Pak Cik dan Datuk. Selain dari itu hanya isu homoseksual yang dibualkan secara panjang lebar.
Lakonan
Cemerlang. Senang sekali melihat watak-watak natural berlakon dalam filem ini. Tiada solekan-solekan tebal yang merimaskan. Tiada kostum-kostum melampau-lampau. Yang ada hanya van buruk yang rosak ‘clutch’nya dan pelakon-pelakon yang berwajah sangat biasa. Gadis kecil yang tembam. Anak remaja yang berbintik-bintk kulitnya.
Wah! Senang sekali menonton kisah sejujur ini. Saya tonton juga FUR ; Imaginary Potrait (lakonan Nicole Kidman). Mungkin akan saya ulas kemudian. Little Children. Menarik tetapi terlalu banyak aksi seks yang melemaskan. Malas hendak ulas.
Tonton filem ini kalau anda suka menonton :
1. I Am Sam
2. TransAmercia
3. Imaginary Heroes
4. You Can Count On Me
Labels: Filem Hollywood
Sivaji : The Boss
Filem : Sivaji : The Boss
Genre : Tamil
Apa yang menarik sangat tentang filem Tamil ini? Sebuah filem Tamil yang berjaya kekal dalam carta pecah panggung beberapa minggu menyaingi hebat filem-filem blockbuster.
Ketika saya tonton filem ini di bulan kedua tayangannya panggung masih separuh penuh. Ada penonton Melayu, Cina dan tentunya kebanyakan India. Yang uniknya begitu ramai penonton-penonton warga emas bersari duduk bersama. Begitu kuat sekali penangan Sivaji.
Sinopsis
Sivaji, seorang anak muda yang baru balik dari Amerika. Mahu mengubah hidup masyarakat Chennai dengan menubuhkan Yayasan Sibavi, Universiti Sivaji dan Hospital Sivaji yang akan menawarkan perkhidmatan secara percuma (atau harga paling murah). Namun hasratnya dihalang, dan ditekan oleh ahli politik yang korup.
Ulasan
Sangat klise, filem-filem Tamil sedari dahulu memang berani mengangkat isu korupsi pemerintah. Sedang dalam negara kita tidak pernah ada satu pun filem atau drama yang mengupas korupsi pemerintah. Hatta sebarang watak kakitangan kerajaan yang korup pun tidak dibenarkan. Semuanya harus mulus dan tulus.
Sivavji bermula dengan adegan sang hero diheret ke penjara. Sepanjang jalan ke penjara dipenuhi penyokong-penyokongnya. Gambaran lautan manusia yang berhimpun seolah-olah Sivaji adalah Gandhi baru. Sangat sempurna perhimpunan ini. Dengan wanita menggendong anak-anak menangis. Suasana terik. Provokasi penguasa. Balingan telur ayam. Superb.
Kemudian masuk ke babab wajib dalam filem Tamil dan Hindi. Menyanyi dan menari. Walaupun sangat klise, namun koreografi dan solekan tarian babak pertama ini cantik. Penari yang berbondong-bondong ramai mengalahkan tim penari Noraniza Idris. Barulah kemudiannya saya tahu Sivaji adalah filem Tamil berbajet paling besar. Mungkin lebih besar dari Puteri Gunug Ledang.
Hingga 30 minit pertama, saya sangat teruja, kagum dan kerdil menjadi sebagai orang Melayu (Malaysia) yang sangat miskin filem-filem bermutu seperti Sivaji.
Sayang perasaan itu hanya terhenti setakat 30 minit pertama sahaja. Selebihnya, 2 jam 30 minit yang seterusnya tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Sivaji berakhir sebagai sebuah filem Tamil yang biasa-bisasa. Seorang hero gagah perkasa yang mampu mengalahkan 50 orang jahat sekaligus. Jalan cerita yang sangat-sangat simple, meleret-leret dan penat menunggu bila mahu habis. Hampir-hampir saja saya keluar panggung sebelum tamat.
Secara peribadi, selepas Anger Management lakonan Jack Nicholson Sivaji adalah filem yang membuatkan saya menyesal menontonnya.
Hanya 30 minit pertama yang mengujakan. 4.5 bintang hanya untuk30 minit pertama.
Labels: Filem Tamil