e-episode

Tuesday, March 08, 2005

Buku - Seri Tertangguh

Penulis : Nizam Zakaria Penerbit : Nizam Zakaria Mukasurat : 332 Harga : Percuma _________________________________________________________________ Saya berkenalan dengan Nizam beberapa tahun dahulu melalui sebuah komuniti internet. Selanjutnya saya mula mengikuti perkembangan ulasan, artikel dan pandangan Nizam melalui blog beliau. Novel Seri Tertangguh (ST) saya baca setelah edisi jilid nya (dalam .pdf) disiapkan. Baru saya sedar yang saya ini bukanlah peminat sesuatu yang bersiri dan berepisod. ST merupakan novel Nizam yang pertama yang selesai dibaca, walaupun lama sebelum ini Nizam juga pernah menulis beberapa buah novel lain. Apapun ulasan ini bukanlah yang terbaik dan lengkap. Mungkin saja mana-mana bahagian dari ulasan saya ini ditambahi mahupun dikurangi. Mendengar judulnya sahaja sudah cukup menarik minat saya untuk membaca karya ini. Saya sukakan tema yang cuba diangkat oleh saudara Nizam. Seputar kisah anak-anak muda. Bercampur dengan tema kekeluargaan, konflik masyarakat dari perspektif seksualiti yang berbeza-beza. Apapun melalui karya ini Nizam cuba sedaya upaya memperjuangkan idea dan pandangan beliau. Ini dapat dikesan melalui watak Kavita yang memeluk agama islam dan situasi Seri yang bertudung. Secara tidak langsung pada saya Nizam sebenarnya cuba memberitahu kita akan pegangan dan pandangannya tentang sesuatu itu. Ya benar! Karya ini banyak dihubungkan dengan realiti dan isu semasa. Mungkin juga sebagai satu langkah popular untuk mempublisitikan karya ini agar dekat dengan jiwa remaja dan anak muda yang lebih berminat dengan sesuatu yang bersifat popular. Saya mampu mengesan ketika konsert Seri, yang terdapat anak muda melaungkan ‘seri, marry me’. Ingat Singaporian Idol? Tapi adakah ianya signifikan kepada generasi pembaca untuk 10 tahun ataupun setidak-tidaknya 5 tahun akan datang. Jiwa ataupun ‘feel’ pembaca pada hari ini pada saya tidak lagi akan sama. Apapun dari satu asepk ianya positif sebagai alat perakam peristiwa. Sukar sebenarnya untuk saya mengulas panjang sesebuah karya kreatif. Kritikan sastera yang baik juga ialah satu kritikan yang berfokus. Ini kata Encik Mohamad Daud bin Mohamad, Ketua Jabatan Kritikan Sastera DBP. Pak Samad semasa menulis Hujan Pagi banyak dikritik kerana beliau dilihat seolah-olah mahu menunjuk pandai lantaran banyak teori dan ‘name dropping’ yang beliau lakukan dalam novelnya (yang saya belum baca). Saya nak kata juga perkara yang sama kepada Nizam kali ini. Mungkin Nizam ghairah nak memberitahu (apa yang dia tahu) ataupun mungkin ianya adalah sebahagian dari fasa yang perlu dilalui oleh kebanyakan penulis muda seperti Nizam dan juga Pak Samad (ketika zaman mudanya). Secara keseluruhanya apa yang saya boleh katakan, saya senang membaca ST. Cumanya saya tidak selesa dengan watak-watak yang tidak dikembangkan dengan baik. Pembinaan watak @ karakter nampak ringkas dan terburu-buru. Pun begitu, Nizam punya bahan yang menarik. Saya tidak punya masalah dengan pendekatan bahasa Nizam menulis. Itu gayanya. Kehadiran ST akan lebih bermakna jika karya ini dikembangkan lagi. Saya ingin membuat pengakuan saya lebih suka judul berbanding isi novel ini.