e-episode

Wednesday, April 14, 2004

Buku : Akidah dan Suluk Dalam Tasawwuf

Judul    : Akidah dan Suluk dalam Tasawwuf
Penulis : Dr. Abd. Al-fattah Ahmad Al-Fawi Kuliah Darul ulum Universiti Al-Qahirah
Penterjemah : Basri Ibrahim al-Hasani al-Azhari
Penerbit : Jahabersa

Buku ini diterjemahkan oleh ustaz Basri Ibrahim dengan baik. Sayaberpuas hati walaupun kualiti terjemahannya tidaklah sebaik Syed Ahmad Semait ataupun Bey Ariffin. Ustaz Basri Ibrahim menurut sahabat sayaRafiqa merupakan pensyarah di Kusza. Menurutnya lagi, penterjemah sedang giat menterjemahkan magnum opus tokoh-tokoh lain termasuk Wahbah Zuhaili dan Yusuf Al-Qaradhawi.

Saya memilih untuk membaca buku ini adalah untuk mendapatkan penjelasan lanjut lagi terperinci mengenai tasawwuf yang sering dikelirukan kepada saya. Dan saya yakin tajuk asal buku ini sebelum diterjemahkan bukan seperti yang dinyatakan. Namun judul ini diolah sedemikian rupa demi menarik perhatian pembeli.

Seawal entri pengenalan lagi saya sudah nyatakan kepada sesiapa yang berkesempatan mengikuti Seminar Menilai Tarikat dan Tasawwuf dari Syariat Islam anjuran Majalah DAF dengan kerjasama DBP, buku ni merupakan kupasan lanjut dalam kerangka perbincangan yang sama akan tetapi lebih jelas dan terperinci.

Buku ini bermula dengan membincangkan takrifan tasawwuf, istilah dan sumber tasawwuf dalam Islam. Seterusnya penulis menyingkap persepsi ahli sufi terhadap perkara-perkara asas dalam Islam seperti akidah, nubuwwah, solat, taklif syara', perkahwinan, bekerja dan jihad. Dalam bab ketiga barulah penulis memfokuskan perbincangan mendalam mengenai beberapa unsur penting dalam dunia tasawwuf. Termasuk yang dibincangkan ialah perihal Al-Ahwal dan Al-Maqamat, Ilham dan Karamah, Zikir, Sama dan Wajd, Syatahah dan Dakwaan. Perbincangan diteruskan dengan melampirkan syiar-syiar ahli sufi. Antara yang dinyatakan ialah syeikh, khirqah, berlapar dan khulwah.

Diakhir perbincangan, penulis membuat perbandingan diantara ahli sufi dam golongan-golongan Islam yang lain. Dalam bab terakhir penulis melampirkan beberapa contoh tarikat-tarikat sufi yang utama dan terkenal seperti Tarikat Rifaiyyah, Tarikat Syaziliyah, dan Tarikat Tijaniyah.

Itu sepintas lalu mengenai buku ini. Agak lama sayanak habiskan buku ini sebab banyak perkara disentuh dan dibahaskan yang saya susah nak faham. Jadinya saya perlu membaca perlaha-lahan. Tapi ada juga yang saya masih kabur.

Kesimpulan yang dapat sayabuat terhadap buku ini hampir sama dengan seminar yang saya sebutkan di atas tadi. Pada permulaan buku ini golongan tasawwuf diserang dan dikritik dengan begitu hebat sekali dek kerana beberapa perkara yang nyata bertentangan dan bersalahan dengan syariat pada penulis buku ini. Namun serangan dan kritikan itu diberi catatan semula diakhir bahagian buku ini. Sama seperi yang diseminarkan. Namun pada saya apa yang cuba disampaikan ialah berhati-hati dengan tarikat-tarikat tasawwuf yang pada hemat penulis lebih banyak yang menyeleweng dari yang benar-benar berpegang teguh kepada Al-Qur'an dan Sunnah. Hampir-hampir sahaja ahli panel semasa seminar tempoh hari mengatakan tidak pada tarikat tasawwuf dalam Islam. Namun pada saya di sana ada hikmah dan kebijaksanaan yang perlu dilihat dan ditimbang-timbangkan dalam menangani isu ini dalam situasi masyarakat hari ini.

Saya berpendirian dari awal lagi untuk tidak mengikuti mana-mana tarikat. Saya pegang pada satu hadith nabi. "Aku tinggalkan kamu dua perkara yang selama-lamanya kamu tidak akan sesat selagi mana kalian berpegang teguh kepadanya iaitu Al-Qur'an dan As-Sunnah".

Akhir kata. Terimah kasih pada adi(bangchik) kerana merangsang kepada sayauntuk membuat ulasan yang tidak sebarapa ini. Saya rasa setakat ini buat masa ini pembacaan saya terhadap isu tasawwuf.  Saya tidak mahu nanti dihanyutkan dalam isu. Sedang isu bersilih ganti. Yang jauh lebih penting ialah memberi tumpuan kepada matlamat dan impian.