Laskar Pelangi
Penulis : Andrea Hirata
Penerbit : Pts Litera Utama 2006
Laskar Pelangi merujuk kepada sekumpulan pelajar sekolah desa yang sering berkejaran keluar kelas selepas hujan untuk mengejar pelangi. Gelar ini diberi oleh guru kelas mereka. Sekolah Rendah Muhammadiyah, Pulau Belitong. Di situlah lokasi rakaman kisah 10 anak muda mengenal dunia dan erti hidup. Asalnya sembilan, menjadi sepuluh dan kemudian sebelas.
Andrea bercerita tentang alam kanak-kanaknya yang penuh warna-warni laksana pelangi yang dikejar saban selepas hujan. Membesar dalam lingkungan masyarakat yang serba kekurangan, bersekolah di pesantren yang maha dhaif, itu sebenarnya satu kelebihan yang sangat lebih kepada Andrea untuk menampilkan suatu kisah yang unik lagi original buat bacaan masyarakat yang hampir lupa tentang makna hidup.
Watak-watak pelakon dilukiskan dengan sangat teliti. Dari hari pertama pendaftaran yang hampir tidak terlaksana kerana jumlah pelajar yang tidak cukup korum, hinggalah kehadiran A Kiong menyelamatkan keadaan. A Kiong seorang anak Tiong Hua separuh akal beragaman Budha disekolahkan di sekolah agama!
Kaya dengan kisah suka, duka, cinta dan lucu. Rasa syahdu ketika bapa Lintang berlari-lari mencari pejabat daerah hanya mahu mendapatkan jawapan soalan matematik Lintang. Geli hati melihat karenah Mahar dalam alam kreativiti dan fantasi mencari dukun ketika mahu membalikkan keputusan peperiksaan yang tidak bagus. Syahdu dengan nasib Trapani yang dewasa tanpa mampu berenggang dengan ibunya. Dan seterusnya.
“ Dunia baginya hitam putih dan hidup adalah sekping jambatan papan lurus yang harus dititi.”
Laskar Pelangi kaya dengan pengalaman bahasa yang indah-indah. Penulis berjaya memindahkan pengalaman silamnya dengan baik kelayar kertas. Terasa kita duduk di hadapan Andrea mendengarkan dia bercerita.
Membaca Laskar Pelangi suatu kesempatan yang bakal menjadi kenangan yang sangat indah. Saya kira Laskar Pelangi merupakan satu antara naskah terbaik selepas Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Khabarnya Laskar Pelangi merupakan novel ‘best-seller’ di Indonesia selepas fenomena Ayat-ayat Cinta Habiburrahman El-Syirazi. Laskar Pelangi merupakan hasil import pertama Pts Litera Utama dengan kerjasama Pustaka Al-Mizan di Indonesia (Penerbit kedua terbesar di Indonesia).
Labels: Novel Indonesia
0 Comments:
Post a Comment
<< Home