e-episode

Monday, March 26, 2007

Setulus Setia Seindah Nama

Penulis : Siti Hazneza Abdul Hamid
Penerbit : Pustaka Al-Yamien

Sesuatu yang amat dibanggakan, naskah ini dilancarkan oleh seorang sasterawan besar tanah air dan diulas pula oleh orang ahli akademik. Siti Hazneza Abdul Hamid sungguh bertuah apabila Sasterawan Negara Dato’ A Samad Said bersetuju melancarkan novel ke-4 beliau. Dan kemudiannya diulas oleh Professor Madya Dr Sohaimi Abdul Aziz. Ini satu pengiktirafan besar kepada penulis muda seperti Siti Hazneza Abdul Hamid. Pasti ada sesuatu yang menarik menanti di balik halaman-halaman bercetak ini.

Sinopsis

Setulus Setia Seindah Nama berkisar konflik cinta masyarakat. Ada yang tiga segi, ada cinta tidak berbalas dan ada cinta yang terhalang oleh keluarga. Ini persoalan biasa yang sering diangkat dalam novel-novel konvensional. Namun yang lebihnya, penulis memilih watak-watak yang berbeza keturunan. Berlatar belakangkan Pulau Pinang (tempat penulis sendiri), Nazneen satu dari watak utama berketurunan Arab campuran Melayu dan Pakistan. Selain Pulau Pinang, naskah ini juga menyorot beberapa destinasi lain, seperti Kuala Lumpur dan luar Negara (Turki).

Kekuatan novel ini adalah pada nilai yang diterapkan. Penulis sedari naskah pertama beliau (Cemburu Seorang Perempuan ; Creative Enterprise) amat teliti dalam menentukan nilai-nilai dan batas-batas yang selari dengan Islam. Ini yang menjadikan novel ini sangat baik untuk dibaca oleh golongan muda khususnya.

Karya penulis ini juga sangat menitik beratkan penggunaan bahasa melayu dengan baik. Walaupun beliau sekali sekali memetik beberapa istilah Inggeris dan Arab. Terdapat juga beberapa bahagian dialog ditulis terus dalam bahasa asing (seperti dialog dalam keluarga Nazneen) dan diterjemahkan kemudian dalam kurungan. Secara peribadi (walaupun disangkal oleh penulis) saya merasa terganggu dengan dialog-dialog ini.

Sesuatu yang saya kesan ada pada novel ini (yang mana sangat jarang diperhatikan lewat naskah-naskah novel melayu yang lain) ialah kesinambungan yang baik antara bab. Satu bab yang sebelumnya berakhir dengan adegan menepuk bantal dan kemudian disusuli bab berikutnya dengan babab menepuk bahu. Satu bab yang berakhir dengan tangisan sedih seorang wanita bak hujan, manakala beb berikutnya bermula dengan babak hujan dan falsafah disebaliknya. Sesuatu yang menarik jika dapat divisualkan. Terasa seperti menonton drama bersiri ‘Wanita-wanita yang Kecewa’ (baca : Desperate Housewives). Kalau kita perasan Mohd Noor Kadir (Kuasatek) sering mengeksploitasi teknik ini. Cemerlang.

Penulis juga melalui naskah ini cuba bermain dengan ekspressi bahasa. ‘Nyaris sempurna’ ketika menggambarkan sifat Nazneen’ pada saya satu pengalaman bahasa yang baru. Naskah ini akan menjadi lebih menarik jika kosa kata seperti ini diperbanyakkan. Ini kerana kebanyakan perkataan dan langgam ayat dalam novel ini kedengaran sangat klise dan biasa.

Penulis sebagai seorang pencinta bahasa arab bukan sekadar menyelitkan ayat-ayat dialog dalam bahasa arab. Bahkan pada saya adalah amat indah jika penulis dapat membawa masuk lenggok dan gaya berbahasa arab ke dalam bahasa melayu. Dalam bahasa arab ada apa yang disebut balaghah, tamsil dan nusus. Seandainya lenggok ini dapay diterapkan dalam corak penulisan novel ini saya kira ianya akan jadi suatu perkara yang unik. ‘Ayat-ayat Cinta’, Habiburrahman El-Syirazi adalah satu contoh novel yang banyak menggunakan langgam bahasa arab.

Sebagai seorang penulis karya kreatif adalah sangat baik jika penulis banyak mendedahkan diri dengan teks-teks klasik mahupun pusis. Khazanah Melayu sangat kaya dengan berbagai jenis puisi. Ada sajak, nazam, syair, gurindam dan seloka. Bahkan banyak lagi. Yang mana pengetahuan mengenainya akan banyak membantu seorang penulis mengikat perkataan dengan lebih baik, indah dan bermakna.

Apapun, Setulus Setia Seindah Nama, masih merupakan naskah yang baik untuk dibaca. Selagi mana ia memperjuangkan nilai murni dan menggunakan bahasa yang betul, itu sudah memadai untuk menjadi naskah yang boleh-baca. Namun belum cukup untuk memasukkannya ke dalam senarai mesti-baca saya.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home