e-episode

Saturday, February 03, 2007

Atas Nama Cinta (Penerima SEA Write 2006)

Halaman : 284
Harga : RM 29.00

Novel Epik Sejarah

Dua dunia bertembung untuk merebut cinta Nadra

Beberapa tarikan naskah penulis dari Singapura ini. Selepas buku ini dibeli dan sebelum ia dibaca, saya menyelidiki dahulu latar belakang penulis yang namanya sedap disebut dan juga didengar.

Tarikan pertama adalah dari judulnya. Atas Nama Cinta, satu judul yang membawa makna besar. Pemilihan kata yang biasa namun mengikat makna yang luar biasa. Selepas filem Ada Apa dengan Cinta dan novel Ayat-Ayat Cinta, tentu Atas Nama Cinta bakal memberikan impak besar. Itu tanggapan awal saya selaku pembeli.

Nama ISA KAMARI yang dicetak lebih besar dari tajuknya seolah-olah penulis ini punya nama yang sangat besar dan berpengaruh seperti Shahnon Ahmad atau A Samad Said kalau tidak Tostloy sekalipun. Tertera ‘Penerima SEA Write Award 2006, satu penganugarahan yang diimpikan oleh kebanyakan penulis.

Dari sudut pemasaran, naskah ini sudah berjaya. Berjaya menambat pembaca serius dan peminat buku.

Sinopsis

Atas Nama Cinta, novel epik sejarah seperti blurbnya merakamkan kisah Nadra (dikelali sebagai Natrah), gadis Belanda yang dibela oleh wanita Melayu pada era sebelum Malaya merdeka. Pergolakan meletus apabila berlaku ibu bapa kandung Nadra menuntut semula hak penjagaan Nadra selepas hampir 10 tahun. Konflik Nadra mencetuskan pergeseran yang lebih besar membabitkan bangsa dan sentime agama Islam – Kristian.

Ulasan

Ceritanya sudah dimaklumi. Sejarah mencatatkan akhirnya Nadra kembali diserahkan kepada keluarga asalnya. Namun melalui novel ini Isa Kamari membawa sejarah ini lebih dekat kepada pembaca. Peristiwa penyerahan Nadra, tuntutan semula dan perbicaraan diceritaka lebih lanjut.

Sebagai epik sejarah, Atas Nama Cinta terasa sangat pantas melewati babak-babak konflik. Penulis seolah-olah terkejar-kejar menyudahkan setiap babak. Naskah epik ini akan menjadi lebih baik dan bernilai sekiranya maklumat budaya ditambah memandangkan latar cerita ini berlaku pada tahun-tahun sebelum merdeka. Aktiviti ekonomi dan social umpanya sangat kurang diperkatakan.

Novel ini kurang dialog. Penulis lebih senang bercerita sendiri melalui ayat-ayat naratif yang dipermudahkan. Banyak tingah laku dan kelakuan watak ditafsir sendiri oleh penulis. Emosi watak-watak utama dalam kebanyakan babak disimpulkan penulis dengan tafsiran singkat.

Satu kecenderungan Isa Kamari dalam novel ini ialah melukiskan karakter setiap watak yang muncul di awal babak. Nadanya sama. Diperincikan sendiri oleh pengaran tanpa memberi peluang untuk watak itu berkembang dengan sendiri. Semua watak dicirikan dengan gaya yang sama. Dan perlukan semua watak utama dicirikan satu persatu. Dari bundar matanya, kuning langsatkah kulitnya, berbaju apakah dia. Saya berpandangan novel ini akan lebih enak dinikmati sekiranya cara watak itu deperkenalkan itu biar dipelbagaikan teknik dan pendekatannya. Mungkin melalui dialog. Mungkin juga melalui pengarang juga, tetapi tidak sekaligus.

Namun dari satu sudut yang lain, Isa Kamari berjaya merakamkan kisah Nadra ini semula dengan maklumat dan fakta menarik. Penglibatan Karim Ghani yang menjadi idola kepada Dr. Burhanuddin Helmy. Usaha Tunku Abdul Rahman memujuk Dato’ Onn supaya sama-sama berjuang untuk Nadra, biarpun ditolak mentah-mentah (ingat Dato Onn ialah Pegawai Daerah Batu Pahat di zaman British). Mengingatkan saya kepada Pak Subky Latif yang banyak menulis sejarah Malaya sebelum merdeka.

Kisah Nadra dan fakta-fakta sejarah ini yang menguatkan semangat saya menyudahkan pembacaan Atas Nama Cinta. Berdasarkan naskah ini saya buat keputusan Isa Kamari bukanlah penulis kegemaran saya. Tidak seperti pemenang Anugerah SEA Write yang seorang lagi, Azizi Abdullah yang cukup saya minati. Hampir kesemua novelnya saya miliki.

2 ½ bintang dari 5 untuk Atas Nama Cinta.

Labels:

1 Comments:

Post a Comment

<< Home