e-episode

Thursday, September 23, 2004

Buku - Maria

Jodol : Maria Penulis : Emine Senlikoglu Penerbit : - Pencetak : Al Nasr Print, Egypt. Alih Bahasa : Mohd Rafizi Dollah.
Mulanya saya cuba membaca kisah Panglima Salleh yang terkenal di Johor dengan menentangnya terhadap Pemerintahan Komunis selama 14 hari, tetapi mungkin buku Zaharah Nawawi itu agak tebal lalu saya terpaksa membaca sebuah novel yang bertajuk Maria. Buku kepunyaan Dayat ini dibeli langsung dari Mesir kerana kesukaran untuk mendapatkannya di Malaysia. Maria sebuah novel berdasarkan kisah benar yang ditulis oleh seorang penulis dari Turki, yang ketika buku itu ditulis dalam bulan September 1992 penulisnya masih menuntut di Universiti Al Azhar. Penulis wanita ini terkenal sebagai pejuang Islah di Turki melalui penulisan. Beliau banyak menulis dalam Bahasa Turki dan Arab. Dan buku yang berada di tangan saya ini, tidak dapat dipastikan bahasa asalnya; sama ada Emine menulisnya dalam bagasa ibundanya iaitu ataupun dalam Bahasa Arab sebab tidak terdapat penjelasan dalam buku yang berhalaman sebanyak 270 muka ini. Saya mengetahui kenapa Emina memilih tema ini untuk diketengahkan. Ini kerana dia hidup ketika zaman penggulingan Kerajaan Uthmaniah dan rempuhan gelombang "kebebasan dan pembaratan" yang disemarakkan oleh golongan rasionalis Turki. Dan sesungguhnya setiap pergerakan seumpama ini akan berpusat kepada satu faham yang menjadi nadi, dan pastinya pergerakan kebebasan dan pembaratan akan dibidani oleh fahan Atheis. justeru dia berusaha untuk membendung faham yang tidak mempercayai tuhan ini daripada mewabak. Rasanya tanpa diterangkan pun pembaca akan mengetahui bahawa watak utamanya ialah seorang insan bernama Maria. Ia menceritakan perjalanan yang begitu panjang yang dilalui oleh Maria yang berbangsa Jerman apabila dia hidup di dalam krisisi kepercayaan; dia dan ibunya seorang penganut Roman Katholik yang taat sedangkan bapa dan adiknya, Bill merupakan seorang Atheis. Kekuatan cerita ini bergantung kepada pengalaman peribadi yang ditempuh oleh Maria. Persoalan akhir bagi cerita seperti ini dapat juga kita ramalkan lantaran buku novel ini berupa wadah dakwah penulis yang sempat melihat Kejatuhan Kesultanan Uthmaniah dan kebangkitan Revolusi Turki pimpinan Mustafa Kamal. Kita dengan mudah dapat menyangka bahawa Maria akhirnya memeluk Islam, bagaimana pun yang menjadi tanda-tanya ialah apakah Maria akan mendapat cintanya. Kelemahan buku ini ialah bahasanya yang lurus - tidak berpuitis. Mungkin ini kerana bahasa asal bukanlah ditulis dalam Bahasa Melayu dan kelemahan penterjemah untuk mengungkapkan kata-kata yang punya unsur estetika. Keduanya ialah format buku ini yang tidak menarik, saiz tulisan yang agak besar serta cara persembahan yang agak kaku. Apapun Maria mengingatkan saya kepada Isabela, sebuah buku novel kisah benar yang berlaku setelah zaman kejatuhan Andalusia. Tetapi berbanding dengan Maria, saya masih menyukai Isabela kerana beberapa sebab. Pertamanya ialah kerana jalan cerita Isabela yang kuat serta mantap. Penggunaan kata-kata yang indah walaupun Isabela juga merupakan karya luar. Serta Isabela lebih mengemukakan lebihan hujah berbanding dengan Maria. Juga mengingatkan saya kepada buku berjodol: "Paderi Bertanya, Pelajar Islam Menjawab" yang berlatar-belakangkan zaman awal 1900 an. Pendeknya bagi saya novel Maria adalah sebuah bahan bacaan awal yang baik untuk memahami tiga aliran keyakinan di samping is sebagai bahan bacaan yang ringan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home