e-episode

Tuesday, September 14, 2004

Filem - Puteri Gunung Ledang

Tayangan Puteri Gunung Ledang sudah masuk minggu ke tiga. Namun sehingga tayangan hujung minggu kedua baru-baru ini, panggung masih sesak di Citys Square, Jb. Semua tiket ‘sold out’. Inilah situasinya. Saya sudah menonton PGL awal-awal lagi sejak jejakkan kaki di Johor Bharu. 5hb kalau tak silap saya. Saya menonton bersama adi, yang saya kira antara orang yang perlu tonton PGL. PGL menjadi satu filem penting dalam sejarah perfileman negara. Satunya, seperti diketahui ramai ; filem termahal pernah dihasilkan. Mengjangkau 20 juta ringgit Malaysia. Keduanya, kerana membariskan pelakon-pelakon hebat dari dua negara (Malaysia dan Indonesia). Saya tidak bermaksud mengulas panjang perjalanan filem Puteri Gunung Ledang. Tonton sendiri, atau layari laman-laman blog lain yang saya kira punya ulasan filem yang jauh lebih baik. PGL punya lakonan yang hebat bahkan mantap. Itu tidak boleh dipertikaikan. Sinematografi agak cemerlang tetapi bukan yang terbaik. Saya kira sentuhan Teoh Gay Hian lebih baik dalam Embun dan Paloh juga Spinning Gasing. Saya memuji keberanian dan kegigihan Tiara untuk menyiapkan PGL. PGL lebih dilihat sebagai filem Tiara dan bukan filem pengarahnya ataupun penulis skripnya. Di Malaysia ini biasanya filem di lihat milik pengarah. Tanggapan awal sesebuah filem ini banyak bergantung kepada kewibawaan pengarah. Apapun PGL lemah dari aspek penulisan skrip. Perjalan filem terlalu perlahan dan meleret-leret. Dua setengah jam yang dimiliki disia-siakan hanya untuk bercerita tentang cinta dari dua negara. Adi mempersoalkan mengapa Tun Teja boleh menaiki Gunung Ledang dan kembali ke istana dalam masa perjalan 1 malam sedangkan Tuah dan angkatan meminang Sultan memerlukan masa yang lebih lama. Sedangkan Tun Teja bertandu. Keindahan tarian dan kostum Tiara juga tidak dieksploitasikan dengan sebaiknya. Saya bandingkan bagaimana Shuhaimi benar-benar mengeksploitasikan tarian gamelan Meriam dalam Pontianak Harum Sundal Malam. Begitu indah. Tetapi tidak dalam PGL. Apapun PGL masih lagi berada dalam kelas filem-filem berkualiti berbanding filem-filem picisan lain yang entah apa-apa entah. Cumanya dalam filem ini saya malu mengaku melayu bila mengenangkan babak pertarungan M. Nasir dan Alex Komang. Keluar sahaja panggung saya cuba menyenaraikan kemana hala belanja rm 20 juta itu pergi. Barang kemas Tiara. Binaan istana. Aksi CGI. Bayaran pelakon-pelakon bertaraf bintang. Sewa kuda. Sewa gajah. Kos makanan gajah dan kuda yang mahal. Apa lagi? 20 juta boleh buat 10 filem sebaik filem Pontianak Harum Sundal Malam. Kalau nak dibuat analogi dengan makanan, PGL filem yang sedap. Cukup rempah, cukup bahan (cukup modal bahkan lebih). Tetapi kurang garam. Sentuhan emas itu tidak ada.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home