Filem - Sepet
Pengarah : Yasmin Ahmad
Ramai yang dah pun tengok filem ini. Dan akhirnya saya diberi kesempatana untuk menonton filem ini versi vcd. (yang dihadiahkan seorang kepada adi). Dua kali saya tonton. sekali seorang diri dan sekali lagi bersama kawan-kawan. begitu juga dengan filem Kill Bill yang saya tonton dua kali dalam minggu yang sama. mungkin saya tengah bosan.
Ramai pun yang sudah memuji buah tangan kedua Yasmin. Sayangnya saya ketinggalan menonton drama Rabun. Masih mencari kalau-kalau vcd nya sudah diterbitkan. Ramai yang mengakui bahkan Yasmin sendiri bahawa Sepet lebih baik dari Rabun. Tapi setelah menonton Sepet (walaupun belum menonton Rabun) saya rasa (berdasarkan pembacaan) Rabun lebih baik berbanding Rabun.
Kisahnya semua orang tahu. Sepet berkanvaskan cinta pandang pertama (yang disebut-sebut) antara dua bangsa yang berbeza. kanvas ini yang saya tidak berapa gemar. Namun warna-warni dan corat-coret perjalan kisah cinta ini diolah dengan begitu jujur dan baik. kata adi Sepet adalah sebuah filem yang indah dan cantik sinematografi. Ini pada saya yang paling menyerlah (baca : ‘outstanding’) berbanding aspek lain.
Saya tidak kenal Yasmin sebelum ini melainkan melalui filem iklan Petronasnya. Pun begitu saya dapat mengesan gaya pengarahan filem Sepet sedikit-sebanyak dipengaruhi filem-filem Hong Kong. Cara Yasmin me’mute’kan audio tatkala pandangan pertama Jason dan Orked. Ianya benar-benar berkesan dan memberikan penonton peluang untuk menghayati apa yang dipersembahkan. Begitu juga paparan konflik keluarga Jason. Ada baiknya. Gambaran tepat keluarga Tiong Hua ialah melaui pembacaan filem-flem Hong Kong.
Banyak babak-babak yang menarik dari filem ini bakal diingati. Antaranya babak mak Orked dan Yam menonton televisyen, babak menyikat rambut di atas tangga (kelakar), dan babak di perhentian bas ketika hujan. Ianya sungguh fotogenik.
Yasmin juga berjaya menghasilkan babak yang boleh punya banyak rasa dan interpretasi. Babak akhir ketika Orked membaca surat Jason dalam kereta. Ianya boleh jadi satu babak yang sedih dan sadis. Saya hampir sedih dengan lakonan Ida Nerina yang amat cemerlang. Cumanya alasan mengapa mereka menangis tidak cukup kuat untuk membuat saya sama-sama bersimpati. Saya jadi ketawa menyaksikan babak ini apabila mendengarkan bebelan bapa Orked (Harith Iskandar).
Lakonan secara keseluruhan cemerlang, cumanya saya mengharapkan lebih banyak babak-babak dari Harith, Ida Nerina dan Adibah Noor.
Mungkin saya akan tonton filem ini beberapa kali lagi. Akan tetapi bukan kerana ceritanya yang menarik (kisah cinta Jason dan Orked) akan tetapi cerita-cerita lain, gambar yang cantik, runut bunyi yang kreatif dan kejujuran Yasmin dalam berceritalah yang memikat hati saya untuk tontonnya berkali-kali dan sekali lagi.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home