e-episode

Sunday, June 05, 2005

Buku - Pertelingkahan Para Sahabat Nabi saw ; Antara Ketulenan Fakta dan Pembohongan Sejarah

Penulis : Mohd Asri b Zainal Abidin Halaman : 152 muka surat Penerbit : Pustaka Yamien Lama dah sebenarnya buku ini diterbitkan. Asalnya ia diseminarkan oleh penulis dan khabarnya, beberapa bahagian daripadanya sudah pun diterbitkan dalam Majalah I. Cumanya saya tidak berkesempatan mendapatkan versi majalah mahupun seminar. Naskah edisi kedua ini saya temui di gerai Pustaka Yemien, Pesta Buku KL baru-baru ini. Tidak sedikit dari kalangan ummat Islam, orang awam mahupun ilmuan Islam yang berpegang kepada kisah para sahabat yang tidak saheh. Antara yang paling sering diperkatakan dan dibahaskanialah peristiwa perbalahan antara sahabat seperti yang berlaku dalam Perang Jamal dan Peristiwa Tahkim. Menurut penulis sebahagian besarnya adalah berpunca dan berasal dari sebuah kitab sejarah yang besar karya Imam Abu Ja’far Muhammad ibn Jarir Al-Tabari. Kitab ini dinamai Tarikh Al-Umam wal Muluk atau lebih dikenali Tarikh at-Tabari. Al-Tabari adalah seorang yang thiqah (boleh dipercayai) lagi benar, imam dalam bidang tafsir, fiqh dan masalah ijma’ dan ikhtilaf. Karya beliau ini dijadikan rujukan utama dalam pensejarahan Islam. Tidak ada mana-mana ahli sejarah Islam yang akan terlepas dari mengutip pandangan dari kitab ini. Pun begitu ini tidak bermakna kitabnya ini tidak terlepas dari khabar dan riwayat yang tidak benar. Harus dibezakan kaedah periwatan hadith dan kaedah periwayatan sejarah. Perlu diamati pesanan Al-Tabari sendiri dalam pengenalan kitabnya: “Apa yang terkandung dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang terdahulu. Antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya berasa benci atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang menyampaikannya kepadaku. Aku meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku” Jelas menunjukkan disini kekeliruan dan penyelewengan dalam riwayat tersebut bukanlah berpunca darinya. Muhibbudin Al-Khatib dalam kitabnya Ta’liqat al-‘Awasim min al-Qawasim menegaskan : “Tarikh Al-Tabari menyebut peristiwanya dengan disanadkan kepada perawi-perawinya. Di kalangan mereka ada yang benar dan ada pula yang pendusta. Ahli sejarah mengetahui keadaan perawi dapat membeza antara yang benar dan yang palsu. Adapun mereka yang tidak mengetahui tentang ilmu sanad, mereka akan sesat dengan kesesatan yang jauh apabila membaca Tarikh al-Tabari” hal. 260. Oleh yang demikian mengertilah kita bahawa kekeliruan dan penyelewengan ini adalah berpuncad ari kecuaian dan kelalaian pengkaji sejarah dalam menyemak sanad riwayat. Selain itu beberapa faktor lain turut dikenal pasti sebagai penyumbang tersebarnya fakta sejarah yang palsu ini. Satu darinya ialah konspirasi jahat penganut fahaman syi’ah. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut saya sarankan buku ini dibaca sendiri. Tuntasnya naskah ini sebuah naskah yang baik. Tema yang dipilih tepat dan dikupas dengan tersusun dan baik. Pun begitu dari segi saiz dan skop huraiannya masih ringkas. Untuk mandalami permasalahan dan isu yang dibicarakan banyak lagi bahan-bahan bacaan tambahan diperlukan.